lightning-solid
Berita :
Semangat Pejuang Jangan Padam, Sejarah Jangan Dilupakan
Semangat Pejuang Jangan Padam, Sejarah Jangan Dilupakan
Mohd Shahizam Salleh
27 Aug 26
42

KUALA TERENGGANU, 27 Ogos – Semangat perjuangan dan keberanian tokoh terdahulu perlu terus dihayati oleh generasi hari ini agar pengorbanan mereka dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air tidak dilupakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar, Ahmad Shah Muhamed, berkata sejarah perjuangan tokoh-tokoh terdahulu bukan sekadar untuk dikenang, sebaliknya perlu dipelajari, dihayati dan dijadikan pedoman dalam membentuk generasi yang menghargai nikmat kemerdekaan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Syarahan Haji Abdul Rahman Limbong Siri 1 Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Batu Bersurat, Kompleks Muzium Negeri Terengganu. 

Menurut beliau, penganjuran program seumpama itu amat penting khususnya dalam bulan kemerdekaan kerana dapat membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali dengan lebih dekat sejarah perjuangan tokoh tempatan yang telah mencurahkan tenaga, fikiran dan keringat dalam mempertahankan hak serta maruah rakyat dan negeri Terengganu.

“Perjuangan Haji Abdul Rahman Limbong memperlihatkan keberanian seorang tokoh yang bangkit mempertahankan hak rakyat daripada campur tangan penjajah

“Semangat dan keberanian beliau wajar dijadikan inspirasi oleh generasi hari ini supaya kita tidak melupakan sejarah serta memahami bahawa kebebasan yang dinikmati pada hari ini lahir daripada pengorbanan dan perjuangan panjang generasi terdahulu,” katanya.

Ahmad Shah turut mengingatkan agar nikmat kemerdekaan yang dikecapi hari ini dihargai dengan sebaiknya, termasuk dengan memelihara keamanan, perpaduan serta jati diri masyarakat.

Katanya, generasi muda khususnya perlu diberikan kefahaman yang jelas mengenai sejarah perjuangan tanah air supaya mereka tidak terputus daripada akar sejarah dan terus memiliki semangat untuk mempertahankan agama, bangsa serta negara.

“Jangan sampai generasi hari ini lupa bagaimana generasi terdahulu berjuang untuk mendapatkan kebebasan yang kita nikmati sekarang.

“Semoga semangat perjuangan tokoh-tokoh terdahulu terus hidup dalam jiwa kita dan menjadi inspirasi untuk bersama-sama mempertahankan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Program Syarahan Haji Abdul Rahman Limbong Siri 1 Tahun 2026 itu menjadi antara usaha dalam mengangkat kembali sejarah serta perjuangan tokoh Terengganu untuk tatapan dan penghayatan masyarakat, khususnya generasi muda.



Tag :

Artikel Berkaitan