SETIU, 22 Julai – Kerisauan seorang tukang jahit veteran di Kampung Gong Nangka mengenai punca rezekinya yang terjejas akhirnya terubat apabila menerima sebuah mesin jahit baharu, hasil keprihatinan wakil rakyat tempatan.
Sumbangan berkenaan disampaikan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim bagi menggantikan mesin jahit lama milik Mohd Zaki Zulkifli, 35 (Abang Mat) yang telah rosak.
Dr Azman berkata, sumbangan itu adalah bagi menunaikan janji yang dibuat sewaktu beliau menyantuni tukang jahit berkenaan dalam sesi ziarah minggu lalu.
"Minggu lepas semasa ziarah Abang Mat di Kampung Gong Nangka, saya janji nak beri mesin jahit baharu sebab yang lama dah rosak. Hari ini saya datang balik untuk tunaikan janji itu.
"Abang Mat ni memang tukang jahit terkenal di sini. Khususnya kalau orang kampung nak baiki atau ubah suai seluar jeans, memang cari dia," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Bagi Mohd Zaki, kehadiran wakil rakyat berkenaan membawa sinar baharu buat dirinya untuk terus berkarya dan mencari rezeki dalam bidang jahitan.
"Saya sangat berbesar hati dan berbanyak terima kasih kepada YB kita. Mesin baharu ini cukup bermakna bagi saya," katanya dengan nada terharu.
Sumbangan tersebut bukan sahaja membantu melancarkan semula perkhidmatan jahitan beliau, malah memastikan penduduk setempat terus mendapat sentuhan tukang jahit terkenal kebanggaan mereka.