Berita :
'Soft Porn' di Universiti : Dr. Sam Kesal, Titip Pesan Buat Mahasiswa
'Soft Porn' di Universiti : Dr. Sam Kesal, Titip Pesan Buat Mahasiswa
Adli Mohamad
7 jam yang lepas
152

KUALA TERENGGANU, 17 April – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meluahkan rasa kesal terhadap adegan tidak senonoh yang dipentaskan dalam persembahan Karnival Teater di sebuah universiti baru-baru ini.

Beliau yang juga merupakan bekas pensyarah berpandangan, perkara seumpama itu sewajarnya menerima teguran agar tidak berulang pada masa hadapan.

“Memang secara umumnya satu perkara yang kita kesali dan pihak universiti pun saya difahamkan telah membuat teguran yang agak keras terhadap apa yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Ahmad Samsuri turut menitipkan pesanan kepada para penuntut universiti agar sentiasa menjaga kelakuan serta tidak melakukan perkara yang melanggar batas norma masyarakat dan bercanggah dengan nilai agama.

Menurutnya, golongan muda yang terlibat dalam pelbagai aktiviti luar termasuk pementasan seni perlu sentiasa memelihara tatasusila dan batas pergaulan dalam setiap program yang disertai.

“Jadi kepada anak-anak muda di luar sana yang terlibat dalam aktiviti ‘outdoor’ ini tidak kira lah pementasan ataupun apa jua aktiviti perlulah menjaga tatasusila dan batas-batas.

“Supaya semua perkara yang dilakukan dalam sempadan yang dibolehkan mengikut agama masing-masing terutama agama Islam yang merupakan agama Persekutuan dan hendaklah mengikut norma-norma yang diterima dalam masyarakat Malaysia ini,” ujarnya


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan