lightning-solid
Berita :
SUKMA Terakhir, Aiman Buru Tiga Emas
SUKMA Terakhir, Aiman Buru Tiga Emas
Ahmad Zaeem Zainudin
1 hari yang lepas
491

PETALING, 18 Ogos - Atlet olahraga Terengganu, Muhammad Fahrin Aiman Yusmizan tekad untuk menutup perjalanan SUKMA terakhirnya dengan tiga emas.

Terdahulu, Aiman membuka kempen akhirnya di pentas SUKMA Selangor 2026 dengan gemilang apabila meraih pingat emas acara 3,000 meter berhalangan lelaki, petang semalam.

Dengan rekod catatan 9 minit 32.880 saat selepas menduga 28 halangan berpagar dan tujuh lompatan air,  Aiman berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama.

Kejayaan pada petang itu turut menjadi permulaan positif kepada sasaran tiga emas yang diidamkannya.

"Kali terakhir untuk SUKMA saya kali ini, saya sasar tiga emas. Pertama, steeplechase. Esok 1,500 meter," katanya kepada pemberita selepas menduga 'target' pertama misinya.

Menurut Aiman, kejayaan tersebut cukup bermakna selepas melalui tempoh dua tahun yang penuh cabaran bersama jurulatihnya sebagai persiapan menghadapi SUKMA.

"Banyak jatuh bangun semasa saya menjalankan latihan dua tahun itu. Banyak perit yang saya lalui dengan jurulatih," katanya.

Tambah Aiman, matlamat utamanya adalah untuk menghadiahkan emas kepada pasukan Terengganu dan pulang membawa kejayaan untuk negeri tercinta.

Selepas emas steeplechase, Aiman akan meneruskan cabaran dalam acara 1,500 meter pada esok (hari ini) sebelum melengkapkan saingan dalam acara 5,000 meter pada 19 Ogos.

"Terima kasih kepada jurulatih saya. Dia sahaja tahu betapa peritnya untuk dapatkan sebuah medal emas," ujarnya.


Artikel Berkaitan