lightning-solid
Berita :
Syariat Bukan Sekadar Hukuman, Teras Integriti dan Kehidupan
Syariat Bukan Sekadar Hukuman, Teras Integriti dan Kehidupan
Rohayati Ripin
13 jam yang lepas
65

Oleh ; MH

BESUT, 25 Ogos – Pelaksanaan syariat Islam di Terengganu perlu difahami sebagai satu sistem kehidupan yang menyeluruh, termasuk membentuk integriti, amanah dan kejujuran dalam pentadbiran, bukannya hanya tertumpu kepada aspek hukuman.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kefahaman terhadap syariat perlu terus diperkasa bagi memastikan masyarakat memahami matlamat sebenar kempen ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Menurut beliau, kempen tersebut bukan sahaja bertujuan mendidik masyarakat mengenai syariat Islam, malah menjadi medium untuk memperbetulkan persepsi yang sering mengaitkan pelaksanaan syariat hanya dengan bentuk-bentuk hukuman.

“Slogan ini yang pertamanya kita mahu mendidik rakyat kita. Syariat Islam ini bukan hanya berkisar tentang ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji.

“Tetapi ia merangkumi semua aspek kehidupan kita, termasuk integriti, sikap amanah serta kejujuran dalam melaksanakan tugasan dan lain-lain lagi,” jelasnya dalam satu program.

Dr Khalil turut menegaskan bahawa penerangan secara berterusan perlu dilakukan bagi menjawab persepsi negatif pihak luar terhadap pelaksanaan syariat Islam di Terengganu.

Katanya, terdapat pihak yang apabila membincangkan syariat Islam hanya menggambarkannya dari sudut hukuman seperti rotan, sebat, potong tangan dan rejam, sedangkan skop syariat jauh lebih luas.

“Kita mahu menjawab persepsi pihak-pihak luar yang menyerang negeri Terengganu. Apabila disebut tentang pelaksanaan syariah, yang digambarkan oleh mereka hanyalah rotan, sebat, kerat tangan, rejam dan seumpamanya.

“Padahal, syariat Islam ini adalah satu sistem yang sangat indah,” tegasnya.

Tambahnya, usaha memberikan kefahaman secara langsung melalui program dialog di peringkat akar umbi penting bagi memastikan dasar dan wawasan kerajaan negeri, khususnya berkaitan agama dan pentadbiran, dapat difahami dengan tepat.

Katanya lagi, pendekatan tersebut turut memberi ruang kepada masyarakat dan ahli parti mendapatkan penjelasan secara terus daripada pimpinan, sekali gus mengelakkan kekeliruan terhadap dasar yang dibawa kerajaan negeri.

"Kefahaman bahawa syariat merangkumi aspek ibadah, akhlak, integriti, amanah dan tadbir urus dilihat penting bagi memastikan konsep ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ benar-benar dihayati sebagai panduan kehidupan, bukan sekadar slogan," tambah beliau.


Tag :

Artikel Berkaitan