Jalur Gemilang
Berita :
Tafsir Al-Tibyan Detik Bermakna Buat Dunia Islam - Mantan Menteri
Tafsir Al-Tibyan Detik Bermakna Buat Dunia Islam - Mantan Menteri
Adli Mohamad
2 jam yang lepas
68

KUALA TERENGGANU. 19 Oktober - Penerbitan Tafsir Al-Tibyan disifatkan sebagai detik amat bermakna buat dunia Islam, khususnya dalam perkembangan ilmu dan dakwah, kata mantan Menteri Agama, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad.

Menurut beliau, karya terbitan Yayasan Permata Ummah itu menghimpunkan perjalanan panjang perjuangan ilmu Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyampaikan kuliah tafsir selama 50 tahun.

“Pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan sebuah karya, bahkan menjadi lambang kesinambungan perjuangan dalam menyebarkan kalam Ilahi.

“Setengah abad dicurahkan untuk mendampingi al-Quran, mendidik masyarakat memahami makna dan petunjuknya, serta membimbing umat agar menjadikan wahyu sebagai pedoman kehidupan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Ahad.

Zulkifli berkata, usaha membukukan kuliah tafsir tersebut membolehkan ilmu berkenaan diwariskan kepada generasi hari ini dan akan datang.

“Inilah antara keindahan tradisi keilmuan Islam, ilmu yang disampaikan dicatat dan dipelihara agar manfaatnya terus mengalir merentasi zaman,” ujarnya.

Beliau turut berharap usaha Ahli Parlimen Marang itu menjadi amal jariah berpanjangan buat Abdul Hadi serta semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan penerbitan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Yayasan Permata Ummah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi atas penganjuran majlis pelancaran tersebut.

“Semoga Allah SWT memberkati usaha memartabatkan al-Quran ini dan menjadikan Tafsir Al-Tibyan cahaya petunjuk yang terus menerangi perjalanan umat sepanjang zaman,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan