Jalur Gemilang
Berita :
Tafsir Tibyan Hadiah Terbesar 'Ayah Chik'
Tafsir Tibyan Hadiah Terbesar 'Ayah Chik'
Adli Mohamad
3 jam yang lepas
82


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Petang ini aku mengambil peluang keemasan menghadiri pelancaran tafsir attibyan yang dikarang oleh TSDS Tuan Guru Haji Abdul  Hadi Bin Awang Bin Abdul Rahman. Segalanya seperti merentas terowong masa yang panjang , pergulatan ilmu yang direncah dengan ibtila' dan mehnah dalam perjuangan menegakkan Islam di tanahair tercinta ini. Antara tokoh gerakan Islam kontemporari  yang mempunyai kitab tafsir malah digumpal dengan sebanjaran mehnah dalam perjuangan ialah assyahid Sayyid Qutb, Sheikh Said Hawwa, Buya Hamka ( Prof Dr Haji Abdul Malek Karim Amrullah ).

Kitab tafsir ini asal muasalnya daripada kuliah pagi jumaat Ayah Chik di masjid Rusila sejak tahun 1976. Perkampungan Rusila bukan sekadar terhampar pasir putih dengan deruan ombak namun perdesaan pinggir Laut China Selatan ini tertegaknya pondok tradisi pengajian Islam yang pernah disinggahi para pejuang Pahang seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Dato Bahaman. Rusila juga tempat singgahan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong yang bersahabat dengan Haji Yusuf Rusila yang merupakan moyang kepada Ayah Chik. Kedua tokoh ini belayar untuk berniaga di Pulau Jawa yang akhirnya terinspirasi dengan Sarekat Islam Indonesia.

Pondok Rusila popular di Terengganu dizaman Tuan Guru Haji Abdul Rahman yang sezaman dengan Muallim Abdul Wahid Uthman Sungai Udang Melaka. Kuliah jumaat yang memberikan ilmu kepada masyarakat dipencar daripada mimbar masjid Rusila oleh Tuan Guru Haji Awang Abdul Rahman ( Pengerusi Hizbul Muslimin cawangan Terengganu ) . Kuliah jumaat di masjid kayu yang dikelilingi oleh pepohonan kelapa itu menggema kepada masyarakat agrarian bahkan itulah titik pesona terbesar di daerah Marang.

Menurut Ayah Chik , ayahandanya menyuruh beliau berkuliah jumaat bagi menyambung legasi ilmu agar masyarakat kampong terus memperolehi ilmu. Tahun 1976 ,Ayah Chik menyampaikan kuliah dan tersebar dengan pantas " anak haji Awang berkuliah jumaat di masjid Rusila". Teringat penulis dalam satu pertemuan peribadi dengan Ayah Chik puluhan tahun dahulu bagaimana apabila pulang daripada Madinah ,apabila pergi berkuliah di kampong kampong disekitar Marang. Khalayak yang hadir boleh dibilang dengan jari termasuk jika tamrin diadakan. " Zaman enta lening,  ramai doh jemaah" Ayah Chik bergurau sambil ketawa kecil gaya khasnya. 

Pertengahan dasawarsa 70an masih lagi dalam selimut " the blue eyes mentality" di bumi Terengganu. Pelajar pelajar lelaki sekolah menengah masih berseluar pendek, masih tidak menutup aurat bagi pelajar perempuan ,manakala main pantai ( pesta puja pantai ) yang berteras animisme masih diamalkan. Ayah Chik juga menjawat jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu terus gigih mencerahkan akal masyarakat sehinggalah arus kebangkitan semula Islam awal abad 15  hijrah turut melanda negeri Terengganu.

Awal dekad  1980an kehadiran masyarakat ke masjid Rusila meningkat dengan drastik. Nama Tuan Guru Ayah Chik membentuk fenomena besar kebangkitan semula Islam terutama anak- anak muda. PAS sendiri mengalami transformasi kepimpinan, iaitu era  kepimpinan ulama pada tahun 1982 dimana Ayah Chik antara simbol ikonik anak- anak muda menjulang perjuangan Islam. Masjid Rusila menjadi pusat kebangkitan Islam hingga puluhan ribu orang menggerumuni perkampungan Rusila. Keseriusan Ayah Chik memberikan ilmu kepada masyarakat bukan kepalang. Jadual program malam jumaat dikosongkan untuk menelaah pelbagai sumber muktabar. 

Catatan kuliah juga disebarkan dalam bentuk  salinan fotokopi oleh panitia pengajian, rakaman manual kuliah pengajian oleh pelbagai pihak. Seingat penulis antara penyebar kaset kaset utama kuliah jumaat Ayah Chik ialah Pustaka an Nadwah Batu Buruk , Pustaka attibyan , Pustaka al Jihad Kota Bharu dan lain lain penerbit. Awal dekad 80an kaset kaset kuliah dan ceramah Ayah Chik seperti goreng pisang panas. Ianya mengulangi strategi kumpulan penyokong khomenei di Iran yang menyebarkan jutaan kaset kuliah dan ceramah sehingga meledaknya revolusi the black Friday pada tahun 1979.

Fenomena Ayah Chik dalam dekad 1980an  paralel juga dengan pengaruhnya dalam bidang politik . Beliau menjadi anggota legislatif berpengaruh malah dua kali menghiasi muka depan majalah tersohor ' Asiaweek'.  Maahad Darul Quran Rusila yang ditubuhkan pada tahun 1985 juga mengukuhkan Rusila dan Ayah Chik sebagai pengkalan ilmu dan sosok ilmuan gerakan Islam . Ribuan santri MDQ ditarbiah secara langsung di Rusila oleh Ayah Chik.

 Lima dekad Ayah Chik berkuliah jumaat di Masjid Rusila, dua kali khatam pengajian al Quran. Tempoh masa yang panjang inilah yang akhirnya membidani tafsir at Tibyan, usaha pendokumentasian yang penuh teliti oleh panel pengumpul juga panel penyemak. Usaha besar ini berbaloi kerana alam Nusantara ini hanya mempunyai beberapa penulis tafsir al Quran seperti Ahmad Sonhaji, Dr Zulkifli Bakri , Hamka.


Tuan guru Ayah Chik dengan sikap pemaaf dan tak peduli akan kecaman para pembenci terus bergerak  kemana sahaja memberi ilmu. Paling menusuk tajam sukma ialah,  turut diheret jasadnya yang berkeuzuran sekali dengan  ilmu yang akan keluar daripada akal dan mulutnya. Masa lapangnya dipadatkan untuk menulis buku dan membaca. Lebih seratus buah buku yang telah ditulis termasuk dalam bahasa Arab, satu pencapaian besar sebagai ilmuan dan mufakkir islam. Aku pernah menjadi saksimata bagaimana tekunnya sang ulama ini menulis dan melakar aksara walau dalam ruang masa terbatas. Dalam satu pemusafiran ke Afrika Utara bersama beliau sedekad  lepas, dimanfaatkan setiap masanya didalam penerbangan untuk menulis.

Tidak pelik akalnya tajam mengingat fakta dan analisa kerana beliau merencah kehidupannya dengan membaca dan menulis. Penulis ialah insan yang lumayan pahala kata Buya Hamka, saat sang penulis tidur sekali pun, pahala tetap mengalir. Bahan penulisan akan kekal dibaca dan menjadi rujukan daripada satu generasi ke satu generasi yang lain. Banyak juga buku-buku lama Ayah Chik diberi nafas baru oleh penerbit Pustaka Permata Ummah , industri buku tidak lagi meriah namun jualan buku secara maya masih lagi rancak.
 Tahniah PPU!

Seluruh hidup Ayah Chik telah diwakafkan untuk perjuangan Islam dan dakwah, beliau figura antarabangsa yang dimiliki oleh negara kita walaupun diterjang tanpa henti oleh pembencinya sepanjang zaman. Dia tak lelah menyampaikan ilmu dan terus mencari ilmu, walau sesibuk mana sekali pun menggalang jawatan penting dalam parti dan kerajaan. " Ana mohon kepada Allah untuk menyebarkan ilmu al Quran , mohon tidak melakukan kesilapan dalam menyebarkan ilmu...ana berharap ini  sumbangan sebelum ana mati " kata Ayah Chik dengan keharuan dalam satu ucapan yang dirakamkan. Sayu apabila Ayah Chik merakamkan penghargaan kepada mantan guru guru al Quran yang pernah mendidiknya seperti Sheikh Abu Bakar aljazair, Sheikh Yasin Alfadani dan lain- lain. Anak usrah Sheikh Said Hawwa ( IM Syria ) ini menjadi panutan kepada kita bahawa perjuangan Islam wajib beriringan dengan keseriusan mendekatkan diri dengan al Quran  mukjizat terbesar untuk ummat ini.

Apa yang abnaul harakah perlu belajar daripada Ayah Chik?, pertama ialah, bagaimana masa dan kehidupan  perlu diuruskan dengan sebaik mungkin kerana masa kehidupan adalah modal yang akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah. Seorang pemimpin dan ahli-ahli tetap mempunyai masa yang sama dalam sehari, namun bagaimana untuk menguruskan masa semoga menjadi ketulan zamrud yang bermanfaat kepada ummat.

Bagaimana memanfaatkan masa jika kita habiskan dengan berlabun, berlamaan dengan gajet, menonton televisi, mengumbar, tidur yang panjang, rehat yang tak kesudahan?. Berapakah masa yang kita peruntukkan untuk membaca dalam sehari, masa yang diperuntukkan untuk mengkaji dan mentadabbur ayat-ayat al Quran?. Ramai kalangan kita sentiasa kagum dan teruja dengan tokoh-tokoh hebat dalam perjuangan Islam, al Banna dan angkatannya, juga tokoh - tokoh dalam tanahair seperti almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, almarhum Ustaz dato Harun Taib, Almarhum Ustaz Yahya Othman, almarhum Ustaz Hasan Shukri. Namun adakah kita mengambil iktibar dan bercermin dengan tokoh- tokoh ini memanfaatkan masa mereka untuk ummah?.

 Ayah Chik mengajar kita semua agar menakluki setiap detik inci masa dengan kerja , usaha- usaha bermanfaat,terutama sang pemimpin. Mencerahkan akal masyarakat dengan ucapan dan tulisan, menjauhi intriq dan polemik, apatah lagi obses dengan harta benda melalui jawatan yang dipegang. Jom, Kita belajar sesuatu daripada Ayah Chik sempena hari ulangtahun kelahiran tokoh murabbi ummah ini yang ke 79. Sanah helwah Ayah Chik, moga terus memimpin kami semua menggalang gerakerja Amal Islam dan mencerdaskan akal ummat .

(Penulis ialah ADUN Jerteh)


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan