Berita :
"Tahniah Menteri Besar" - Anwar Puji Pembangunan Huffaz Terengganu
"Tahniah Menteri Besar" - Anwar Puji Pembangunan Huffaz Terengganu
Ahmad Zaeem Zainudin
12 jam yang lepas
49

KUALA NERUS, 14 April – Terengganu diiktiraf oleh ketua kerajaan sebagai antara negeri peneraju dalam pembangunan pendidikan al-Quran untuk melahirkan generasi huffaz yang seimbang dari segi ilmu, akhlak dan penguasaan teknologi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh sistem pendidikan berteraskan al-Quran yang turut merangkumi bidang sains dan teknologi.

"Saya bangga. Tahniah kepada Menteri Besar dan rakan-rakan di Terengganu kerana terus mempelopori usaha memastikan anak-anak menjadi huffaz dalam pada masa yang sama menguasai ilmu dan teknologi baru dalam bidang sains, teknologi dan juga teknologi maklumat dan artificial intelligence.

"Dan ini saja persiapan yang boleh kita jangka akan memecahkan tembok yang menghalang kita," katanya dalam satu ucapan sempena Majlis Perasmian Pembukaan Majlis Tilawah Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2026 (MTHQK) bertempat di Dewan Arena Gong Badak, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, semalam.

Beliau menegaskan bahawa kekuatan sesuatu bangsa tidak hanya bergantung kepada ilmu semata-mata, tetapi perlu disandarkan kepada akidah, akhlak dan nilai.

"Tidak ada ilmu yang boleh diterima tanpa terikat dengan akar budi akhlak dan nilai," tambahnya.

Menurutnya lagi, sejarah penjajahan telah memberi kesan besar kepada pemikiran umat Islam sehingga menuntut perubahan dalam sistem pendidikan negara.

"Kalau kita tercengkam dengan serangan penjajah, seluruh kekuatan asas kita - sistem pendidikannya, ekonomi, dikuasai pemikiran dan sistemnya oleh penjajah.

"Maka seluruh sistem itu dipunggah tanpa kesedaran, tanpa kekuatan," jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan untuk membina semula kekuatan ummah dengan kembali kepada asas al-Quran tanpa menolak kemajuan moden.

"Kita kena pertahankan dengan kesedaran Islam. Kita kena pertahankan dengan ilmu. Kita kena pertahankan dengan teknologi baru," tegasnya.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penganjuran majlis tilawah dan hafazan mencerminkan komitmen berterusan negeri dalam mengangkat martabat al-Quran.

Selaku tuan rumah kepada panganjuran kali ini, beliau telah menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran program berprestij yang akan berlangsung selama enam hari itu.

"Saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan penganjuran majlis ini, khususnya kepada JAKIM, Kerajaan Negeri Terengganu serta seluruh jawatankuasa pelaksana. 

"Semoga majlis ini berlangsung dengan jayanya serta dipenuhi keberkatan," ujar beliau sebelum mengakhiri ucapannya.

Dr. Samsuri juga berharap penganjuran program itu akan terus diperkasakan sebagai wadah membentuk generasi berteraskan al-Quran yang mampu memacu pembangunan negara secara holistik.


Ketupat

Artikel Berkaitan