Jalur Gemilang
Berita :
Tasik Kenyir Intai Limpahan Ekonomi Produksi Antarabangsa
Tasik Kenyir Intai Limpahan Ekonomi Produksi Antarabangsa
Mastura Jamal Din
1 hari yang lepas
91

KUALA TERENGGANU, 13 Oktober – Tasik Kenyir bukan sekadar destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi, malah berpotensi menjadi pemangkin ekonomi baharu Terengganu apabila mula mendapat perhatian industri produksi televisyen antarabangsa.

Peluang itu dimanfaatkan menerusi penglibatan TI Properties Sdn. Bhd. (TI Properties) dalam menyokong penerbitan siri televisyen Extracted di Tasik Kenyir, sekali gus membuka ruang kepada pengusaha tempatan untuk meraih manfaat daripada kehadiran produksi luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties, Awasi Mohamad berkata sebagai pengurus aset dan fasiliti Marina Dome di Pulau Poh, TI Properties berkata pihaknya menyediakan lokasi, kemudahan serta perkhidmatan sokongan bagi memenuhi keperluan pasukan produksi sepanjang pelaksanaan penggambaran.

"Lebih daripada sekadar penggunaan lokasi, kehadiran produksi antarabangsa itu berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi setempat melalui permintaan terhadap penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan serta perkhidmatan logistik.

" Peluang berkenaan juga boleh dimanfaatkan pengusaha kecil, penyedia perkhidmatan dan tenaga kerja tempatan sekiranya keperluan produksi dapat dipenuhi menerusi rantaian bekalan negeri," ujarnya.

Tambah beliau, penglibatan itu mencerminkan usaha syarikat berkenaan memperluas fungsi aset di bawah pengurusannya, bukan sahaja untuk pelancongan dan penganjuran acara, malah sebagai kemudahan sokongan kepada industri produksi antarabangsa.

Katanya, sebagai syarikat milik penuh Terengganu Incorporated Sdn. Bhd., TI Properties turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan nilai komersial aset menerusi penerokaan segmen pelanggan baharu.

Dalam masa sama, penggambaran berkenaan berpotensi memperkenalkan keunikan Tasik Kenyir dan kemudahan Marina Dome kepada pemain industri hiburan antarabangsa, sekali gus meningkatkan Terengganu sebagai lokasi penggambaran yang mempunyai tarikan tersendiri.

"Perkembangan itu seiring laporan portal hiburan antarabangsa Deadline berhubung penubuhan hab produksi Extracted oleh FOX Entertainment Global di Tasik Kenyir bagi menyokong penerbitan versi antarabangsa rancangan berkenaan.

" Pendedahan sedemikian membuka ruang untuk Terengganu meneroka pasaran produksi yang lebih luas, dengan keindahan alam semula jadi negeri ini berpotensi menjadi kelebihan dalam menarik penerbitan dari luar negara," katanya lagi.

Awasi juga berkata sekiranya peluang itu dimanfaatkan secara berterusan, industri penggambaran berupaya menjadi pelengkap kepada sektor pelancongan negeri, selain mewujudkan permintaan terhadap pelbagai perkhidmatan sokongan dan memperluas sumber pendapatan komuniti setempat.

"TI Properties akan terus meneroka kerjasama bersesuaian bagi meningkatkan penggunaan Marina Dome dan aset lain di bawah pengurusannya, dengan harapan lebih banyak projek dapat dibawa ke Terengganu.

"Usaha itu bukan sahaja bertujuan mengoptimumkan penggunaan aset negeri, malah berpotensi mewujudkan limpahan ekonomi yang lebih luas kepada pemain industri dan masyarakat tempatan, " jelasnya. 


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan