MARANG, 8 Oktober – Walaupun berbangsa Cina, Teh Boon Chong, 91, dari Kampung Kayu, Arang Wakaf Tapai meluahkan perasaan rindu terhadap tulisan jawi yang dipelajarinya sejak kecil dan merasakan ia perlu diperkasakan kembali kerana ia mampu menyatukan seluruh masyarakat dalam negara.
Katanya, usaha bagi mengangkat kembali tulisan jawi itu perlu dilakukan kerana ia merupakan identiti masyarakat dalam negara ini dan berpandangan bahawa tulisan jawi itu bukan hanya milik orang Melayu semata-mata.
“Pada tahun 50-an semua orang Cina di Terengganu pandai menggunakan Jawi kerana pada waktu itu ia menjadi keutamaan, boleh dikatakan kalau di Kampung Tiruk semua boleh menulis, membaca menggunakan perkataan jawi.
“Kerana pada waktu itu, semua sekolah menggunakan Jawi sehinggakan ramai kalangan orang Cina sendiri amat mahir dengan tulisan ini dan perlu pandai supaya dapat tamat sekolah dengan baik.
“Jadi saya rasa, bagi mengembalikan semula penguasaan jawi ini paling utama adalah usaha di pihak Kerajaan sendiri supaya mewajibkan mempelajari jawi ini kepada semua bangsa, saya rasa kalau semua mempelajarinya tanpa mengira perbezaan kaum Malaysia akan aman dan tidak akan berlaku seperti hari ini,”ujarnya
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, semalam.
Dia yang pernah bekerja sebagai Jurutera Jentera Berat di Bukit Besi pada tahun 50-an yang dilahirkan di Kampung Bahagia pada tahun 1936 dan kemudiannya menetap di Wakaf Tapi mengaku turut merindu artikel dalam akhbar yang menggunakan tulisan Jawi.
“Saya ini suka beli akhbar setiap hari, dari sejak sekolah lagi baca Utusan Melayu yang pada waktu itu menggunakan sepenuhnya Tulisan Jawi.
“Kini, beli surat khabar artikel Jawi telah tiada, saya cadangkan mana-mana penerbitan akhbar berilah ruang kepada tulisan Melayu lama ini untuk bertapak kembali bagi dua muka surat pun tak apa.
“Sedihlah, untuk English diberikan ruang di dalam akhbar, tetapi untuk Jawi tiada,”katanya.

Selain itu menurutnya, Masyarakat Cina pada waktu dahulu juga turut mempelajari jawi dan mahir dengan tulisan itu kerana hiburan sewaktu dahulu adalah membacakan karya-karya Melayu klasik.
“Begitu juga dengan karya-karya yang lain, saya masih ingat lagi saya bersama dengan dua abang saya ketika Tanah Melayu ini tiada Radio dan Televisyen pada masa itu yang menjadi hiburan adalah bacaan syair.
“Jadi saya bersama dengan dua abang saya akan bergilir-gilir membaca syair di hadapan masyarakat Tiong Hua dan juga sebahagian masyarakat Melayu di antara karya termasyhur ialah Dandan Setia yang mengisahkan Kerajaan Negeri Dendam Berahi dan Pemerintahan Raja Mendam Perasat bersama puteranya, Dandan Setia.
“Selain itu antara karya yang dibaca juga pada waktu itu ‘Syair Utama’ yang merakamkan Sejarah pemerintahan raja-raja Terengganu termasuk Sultan Ahmad yang dikatakan hilang dan ghaib begitu sahaja kerana tiada ditemui kuburnya,”ujarnya.

Dalam pada itu tegasnya, perbezaan di zaman Kolonial Jepun dan penjajah British adalah pada tahun 1941hingga 1945 usaha mempelajari jawi di sekolah-sekolah tiada halangan sementara di waktu penjajahan Barat telah berlaku usaha-usaha untuk menghapuskan Jawi di Sekolah.
“Sehinggalah negara kita mencapai kemerdekaan, sepertinya Jawi semakin lama kian terhakis dan ramai yang bersekolah di Sekolah ‘Orang Putih’.
“Macam saya ni memang bersekolah Melayu, sehingga 1951 yang pada waktu itu Jawi masih menjadi keutamaan sebagai tulisan yang menjadi pengantar ilmu.
“Boleh dikatakan, perkataan yang mula-mula yang saya belajar daripada arwah ayah saya dalam Tulisan Jawi ini ialah ‘Pasu Bunga’,”ujar beliau.
Tegasnya, tulisan jawi itu akan sentiasa di hatinya dan tidak akan pernah pudar serta luput ditelah zaman malah mengharapkan agar kembali diperkasakan semula.
"Jika menjadi mata pelajaran yang diwajibkan di sekolah, maka semua orang tanpa mengira sesiapa akan belajar maka tidak akan berlaku sebagaimana hari ini makin tiada orang yang hendak belajar dan minat.
"Termasuk dengan cucu-cucu saya sendiri, kerana sudah tiada kepentingan untuk mempelajarinya lagi sebagaimana yang pernah dilalui oleh saya bersama ahli keluarga yang lain.
"Sebenarnya Cina di Terengganu ini pandai dengan Jawi bukan suatu perkara pelik kerana ia menjadi kewajipan mempelajarinya sewaktu dahulu, kalau diikutkan Orang Cina yang pandai jawi ini masih ramai di Kampung Tiruk dan saudara mara saya masih ramai di sana,"katanya.
