lightning-solid
Berita :
Telusuri Laluan Emas Mat Kilau, Semarak Semangat Patriotisme
Telusuri Laluan Emas Mat Kilau, Semarak Semangat Patriotisme
Muhammad Amiruddin Zamri
1 hari yang lepas
81

DUNGUN, 29 Ogos – Semangat cintakan sejarah dan tanah air terus disemarakkan menerusi Program Laluan Emas Mat Kilau yang berlangsung di Dataran Kejat, Pasir Raja, di sini.

Program anjuran Kelab Gagau Kemaman itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi,Ghazali Sulaiman.

Menurut Ghazali, program seperti itu bukan sekadar aktiviti lasak atau rekreasi, tetapi turut memberi peluang kepada peserta untuk mengenali dan menghayati sejarah perjuangan tokoh terdahulu.

Tambahnya, kisah perjuangan Mat Kilau wajar terus diceritakan kepada generasi hari ini kerana terdapat banyak nilai yang boleh dipelajari, terutama berkaitan keberanian, pengorbanan dan kecintaan kepada tanah air.

“Mat Kilau bukan sekadar nama dalam buku sejarah. Beliau adalah antara tokoh yang pernah berjuang mempertahankan tanah air daripada campur tangan British. 

"Perjuangan dan pengorbanan beliau perlu kita kenang dan jadikan inspirasi,” katanya.

Usaha membawa peserta menjejaki laluan dan kawasan yang mempunyai kaitan dengan sejarah perjuangan Mat Kilau menerusi program ini dapat memberikan pengalaman yang berbeza berbanding hanya membaca mengenainya.

“Apabila kita sendiri sampai ke kawasan seperti ini, kita dapat membayangkan bagaimana sukarnya kehidupan dan perjuangan orang terdahulu. 

"Ini boleh menimbulkan rasa lebih menghargai keamanan dan kemerdekaan yang kita nikmati hari ini,” katanya.

Beliau turut memuji usaha Kelab Gagau Kemaman yang konsisten menganjurkan program berunsurkan sejarah dan aktiviti lasak seperti itu.

“Program seperti ini bagus untuk diteruskan. Selain mengeratkan hubungan sesama peserta, ia juga dapat memperkenalkan khazanah sejarah yang ada di kawasan kita kepada masyarakat luar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program, Hamdam Azmi berkata, program berkenaan bukan kali pertama dianjurkan, malah beberapa program seumpama itu telah dilaksanakan sebelum ini.

“Program sebegini sudah beberapa kali kita laksanakan dan Insya-Allah akan diteruskan lagi pada masa akan datang. Kita mahu lebih ramai masyarakat, khususnya generasi muda, mengenali sejarah perjuangan Mat Kilau,” katanya.

Seramai 40 peserta menyertai program berkenaan dan akan menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk meneruskan perjalanan menuju ke kubu Mat Kilau.


Tag :

Artikel Berkaitan