Jalur Gemilang
Berita :
Tercicir Satu Piala, Terengganu Masih di Tampuk Selesa
Tercicir Satu Piala, Terengganu Masih di Tampuk Selesa
Ahmad Zaeem Zainudin
3 jam yang lepas
191

KUALA NERUS, 21 oktober - Kontinjen Pegawai Tadbir Negeri (PTN) Terengganu dalam Sukan Empat Negeri 2026 masih kekal selesa meskipun terlepas peluang meraih pingat dalam acara bola tampar pada hari keempat penganjuran kejohanan, hari ini.

Kegemilangan Terengganu terlebih dahulu hadir menerusi acara ping-pong apabila mempamerkan aksi dominan dengan rekod bersih tanpa kalah yang mengesahkan emas kelima buat kontijen negeri tersebut.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi tuan rumah dalam acara bola tampar petang tadi apabila Terengganu tercicir satu piala selepas tewas sengit 2 - 1 kepada Kedah di peringkat separuh akhir, dengan perbezaan tipis dua mata sahaja pada set penentuan.

Pada aksi penentuan tempat ketiga pula, Kelantan menambah derita apabila menghentam Terengganu 2 - 0, sekaligus menafikan gangsa terhadap tuan rumah.

Meskipun terlepas piala dalam acara bola tampar, Terengganu kekal berada di tampuk carta keseluruhan kerana memegang jumlah pungutan pingat emas dan mata keseluruhan tertinggi setakat ini.

Dengan kelebihan 17 mata di hadapan pencabar terdekat iaitu Kedah, Terengganu berada pada landasan terbaik untuk merealisasikan gelaran juara keseluruhan Sukan Empat Negeri 2026.

Saingan kian menghampiri kemuncak itu bakal diteruskan esok menerusi acara bola sepak dalam aksi penentuan gangsa antara Terengganu dan Kelantan serta aksi penentu juara antara Kedah dan Johor sebelum kejohanan melabuhkan tirainya menerusi acara karom pada Jumaat


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan