Berita :
Terengganu Bangun Aplikasi Tunggal Sistem Parkir Seluruh Negeri
Terengganu Bangun Aplikasi Tunggal Sistem Parkir Seluruh Negeri
Mastura Jamal Din
6 jam yang lepas
195

KUALA TERENGGANU, 3 Jun – Kerajaan Terengganu sedang membangunkan satu aplikasi digital bersepadu atau super apps bagi menggabungkan sistem parkir di semua pihak berkuasa tempatan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata kerajaan negeri kini dalam proses melantik kontraktor bagi menguruskan sistem parkir baharu berkenaan.

Menurutnya, langkah itu dibuat susulan pelbagai rungutan dan cadangan yang diterima daripada pengguna, khususnya berkaitan kemudahan pembayaran parkir di Kuala Terengganu dan kawasan lain di negeri ini.

“Kita sedang dalam proses melantik kontraktor yang akan menguruskan isu-isu berkaitan parkir. Perkara ini antara yang sering menjadi rungutan dan cadangan daripada pelbagai pihak.

“Semua pandangan pengguna telah berada dalam makluman dan pengetahuan kerajaan negeri. Insya-Allah, sistem parkir baharu yang sedang kita kaji ini akan mengambil kira semua cadangan yang dikemukakan pengguna sama ada dari Terengganu mahupun luar Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bilik Kawalan CCTV dan melancarkan sistem E-Kutip di Menara MBKT, hari ini.

Wan Sukairi berkata antara fokus utama sistem baharu itu ialah memudahkan pengguna membuat bayaran parkir menerusi satu aplikasi sahaja, tanpa perlu memuat turun beberapa aplikasi berbeza mengikut kawasan PBT.

Katanya, pembangunan aplikasi bersepadu itu juga selaras dengan usaha kerajaan negeri memperluas penggunaan teknologi digital dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Hasrat kita adalah untuk memastikan sistem yang diperkenalkan nanti lebih mesra pengguna, mudah diakses dan mampu menyelesaikan masalah yang sering dibangkitkan oleh orang ramai,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri optimis pelaksanaan aplikasi bersepadu itu mampu meningkatkan kecekapan pengurusan parkir serta memberi pengalaman lebih baik kepada pengguna di seluruh Terengganu.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan