lightning-solid
Berita :
Terengganu Giat Selesai Isu Pemilikan 16,000 Hektar Tanah FELDA
Terengganu Giat Selesai Isu Pemilikan 16,000 Hektar Tanah FELDA
Hidayah Azlin
1 jam yang lepas
79

KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Kerajaan Terengganu kini memasuki fasa akhir pelaksanaan kerja pentadbiran tanah terbesar dalam sejarah negeri bagi menyelesaikan isu pemilikan tanah FELDA yang berlarutan sekian lama.

Langkah itu menyusuli penyelesaian terma Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan FELDA yang dimeterai pada penghujung Ramadan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, berdasarkan persefahaman tersebut, FELDA bertanggungjawab mengemukakan permohonan Jadual 1 Kanun Tanah Negara (KTN) bagi mendapatkan hak milik rasmi daripada Pihak Berkuasa Negeri.

Katanya, kerajaan negeri komited memproses keseluruhan permohonan itu dalam tempoh yang ditetapkan.

“Proses pemberian milik tanah ini melibatkan kawasan seluas lebih 16,000 hektar yang dipecahkan kepada lebih 400 lot.

“Ini merupakan tugasan pentadbiran tanah berskala paling besar pernah dikendalikan oleh Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Isu Tanah FELDA di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Menurut Azman, enam daerah terlibat dalam urusan tersebut, iaitu Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Beliau berkata, semua jawatankuasa dan anggota kerja kini digerakkan dengan kekuatan penuh bagi memastikan proses pendaftaran serta pemberian hak milik tanah itu berjalan lancar mengikut jadual.

Azman turut merakamkan penghargaan kepada anggota jawatankuasa task force yang disifatkan bekerja melampaui kebiasaan bagi menyempurnakan proses berkenaan.

“Komitmen dan kerja keras semua anggota amat dihargai demi memastikan sasaran ini tercapai.

“Ini adalah bakti serta sumbangan kita bersama buat negeri Terengganu tercinta,” katanya.

Penyelesaian isu itu dijangka memberikan kelegaan dan sinar baharu kepada ribuan peneroka serta warga FELDA di Terengganu yang sekian lama menantikan kejelasan status hak milik tanah mereka.


Tag :

Artikel Berkaitan