Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Idam Juara Sukan Empat Negeri
Terengganu Idam Juara Sukan Empat Negeri
Mohd Irsyadi Abu Bakar
1 jam yang lepas
59

KUALA TERENGGANU, 17 Oktober - Kontinjen Pegawai Tadbir Negeri Terengganu meletakkan sasaran muncul sebagai juara keseluruhan dalam Karnival Sukan 4 Negeri yang bakal berlangsung pada 18 hingga 23 Oktober ini.

Diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato' Jusman Ibrahim, Terengganu tampil sebagai tuan rumah dengan kekuatan 127 orang atlet dan 30 pegawai bagi menyertai 10 jenis sukan yang dipertandingkan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato', Mohd Azmi Mohamad Daham ketika merasmikan penyerahan bendera kepada pengurus-pengurus pasukan berpesan, agar kontinjen Terengganu dapat memberikan aksi terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.

"Saya ingin juga mengingatkan di sini bahawa setiap daripada kita haruslah menunjukkan disiplin yang tinggi semasa bermain. 

"Kita bermain untuk memupuk ukhuwah di kalangan kita, supaya kita boleh membentuk satu rangkaian dengan rakan-rakan dari negeri lain.

"Bukan hanya untuk bersukan, tetapi juga untuk meneruskan kerja-kerja pada masa akan datang," katanya ketika berucap di program berkenaan di Wisma Darul Iman, semalam.

Sukan 4 Negeri menyaksikan penglibatan daripada empat negeri iaitu Terengganu sebagai tuan rumah tahun ini, Kelantan, Kedah dan Johor.

Sebanyak 10 jenis sukan diadakan iaitu Dart, Boling Padang, Bola Sepak, Golf, Bola Jaring, Sepak Takraw, Ping -Pong, Bola Tampar, Karom dan Golf VIP.

Acara-acara tersebut akan berlangsung di beberapa lokasi pertandingan di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Berdasarkan rekod, pada penganjuran dua tahun lalu di Kelantan, Terengganu muncul sebagai naib juara.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan