Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Inc, Masavan Meterai MoU Pembangunan Hab Logistik ECRL Chukai
Terengganu Inc, Masavan Meterai MoU Pembangunan Hab Logistik ECRL Chukai
Husaif Mamat
2 jam yang lepas
41

KUALA TERENGGANU, 10 Oktober – Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) dan Masavan Logistics (M) Sdn Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka pembangunan hab logistik melibatkan kira-kira 1,156.74 ekar tanah di Mukim Binjai, Kemaman.

MoU yang dimeterai pada 9 Oktober itu memberi tumpuan kepada pembangunan di sekitar Stesen Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) Chukai.

Dikenali sebagai The Chukai Smart Logistic Eco Hub, pembangunan bersepadu itu dirancang untuk menghubungkan rangkaian rel, pelabuhan, kawasan industri, perdagangan dan komuniti.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dato’ Burhanuddin Hilmi bin Mohamed @ Harun berkata, kerjasama tersebut membawa visi bersama untuk masa depan ekonomi negeri.

Menurutnya, kontraktor, pembekal, usahawan dan anak muda tempatan perlu diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam pembangunan itu.

“Projek ini akan membuka lebih banyak peluang, khususnya kepada rakyat Terengganu. Kontraktor, pembekal, usahawan dan anak muda tempatan perlu diberi peranan yang sewajarnya dalam pembangunan ini,” katanya dalam kenyataan pada 9 Oktober.

Beliau berkata, Terengganu Inc berhasrat memperkukuh keupayaan syarikat tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dan memperkasa perniagaan.

Pada masa sama, generasi muda juga mahu disediakan untuk mengambil bahagian dalam peluang yang bakal diwujudkan.

“Saya yakin projek ini akan memberi sumbangan besar kepada transformasi Kemaman dan pertumbuhan ekonomi Terengganu pada masa hadapan,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu, kedudukan hab berkenaan berhampiran ECRL dan Pelabuhan Kemaman membuka peluang untuk memperluas hubungan perdagangan Terengganu dengan Thailand, Laos dan China, seterusnya ke laluan perdagangan antarabangsa.

Kerjasama tersebut bertujuan memanfaatkan potensi pembangunan berorientasikan transit di Chukai serta mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai pintu masuk utama perdagangan, logistik dan pelaburan di Pantai Timur.

Majlis pemeteraian MoU itu disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman serta Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Rosli Latif.

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Masavan Logistics, Dato’ Tan Keng Choon, Pengarah Projeknya, Tee Chee Seng serta pengurusan kanan kedua-dua syarikat.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan