Berita :
Terengganu Inc Pacu Potensi 7.5GW Tenaga Hijau di Tasik Kenyir
Terengganu Inc Pacu Potensi 7.5GW Tenaga Hijau di Tasik Kenyir
Mastura Jamal Din
8 jam yang lepas
154

KUALA TERENGGANU, 27 April – Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) terus memainkan peranan penting sebagai pemacu transformasi ekonomi negeri apabila menerajui pembangunan projek solar terapung berskala mega di Tasik Kenyir.

Projek itu dijangka membuka lembaran baharu kepada Terengganu dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, sekali gus mengangkat Tasik Kenyir bukan sekadar sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi, tetapi juga sumber baharu tenaga hijau negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, projek berkenaan melibatkan pembangunan Loji Fotovoltaik Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) berkapasiti 595 megawatt arus ulang alik (MWac), dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.96 bilion.

Menurutnya, projek strategik itu dirancang dalam tiga fasa utama dengan kapasiti keseluruhan sekitar 2.5 gigawatt (GW) dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Beliau berkata, Terengganu Inc berperanan sebagai peneraju konsortium yang menyusun hala tuju projek, menyelaras kerjasama bersama rakan industri serta memastikan potensi aset negeri dapat diterjemahkan kepada nilai ekonomi baharu.

“Setakat ini, hanya kira-kira dua peratus daripada keluasan Tasik Kenyir dimanfaatkan bagi menjana sekitar 595MW tenaga melalui solar terapung.

“Tenaga yang dihasilkan akan disalurkan ke pusat data di Johor selaras dengan perkembangan pesat sektor ekonomi digital negara,” katanya pada sidang akhbar di Wisma TI, di sini, pada Isnin.

Pelaksanaan projek berkenaan dibuat menerusi konsortium diterajui Terengganu Inc bersama TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB GENCO), manakala kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dianugerahkan kepada konsortium diketuai Cypark Resources Berhad.

Burhanuddin Hilmi berkata, pengurusan dan pengagihan tenaga yang dijana melalui projek itu akan dikendalikan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik terus terjamin.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Terengganu Inc turut merancang untuk memanfaatkan sehingga 30 peratus keluasan Tasik Kenyir bagi pembangunan solar terapung dengan kapasiti yang berpotensi mencecah 7.5GW.

Katanya, perancangan berskala besar itu dijangka meletakkan Terengganu sebagai antara pengeluar tenaga boleh diperbaharui utama, selain menjadi pemangkin kepada kemasukan pelaburan berimpak tinggi ke negeri ini.

“Projek ini bukan sahaja memperkukuh sektor tenaga hijau, malah membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri secara menyeluruh,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif itu turut didorong oleh peningkatan permintaan global terhadap tenaga hijau, khususnya daripada industri pusat data yang kini semakin beralih kepada sumber tenaga lebih lestari.

“Lonjakan permintaan tenaga hijau daripada industri pusat data, khususnya di selatan tanah air, menjadi antara pemacu utama kepada pembangunan projek solar terapung berskala mega di Tasik Kenyir,” katanya.

Burhanuddin Hilmi berkata, melalui peranan aktif Terengganu Inc, Tasik Kenyir kini berpotensi menjadi sumber baharu ‘emas hijau’ negara, selain menyokong agenda tenaga boleh diperbaharui dan perkembangan ekonomi digital negara.

Katanya, pembangunan itu juga membuktikan bahawa aset semula jadi negeri mampu dimanfaatkan secara strategik tanpa hanya bergantung kepada sektor tradisi, sebaliknya diteroka untuk membuka peluang ekonomi baharu kepada Terengganu.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan