Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu International Summit 2026 Berpotensi Jadi Pemangkin Kesatuan Ummah
Terengganu International Summit 2026 Berpotensi Jadi Pemangkin Kesatuan Ummah
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
56

KUALA TERENGGANU, 16 Oktober -  Terengganu International Summit 2026 berpotensi menjadi platform penting untuk merintis kerjasama dunia Islam yang lebih tersusun, khususnya dalam memperjuangkan isu Palestin menerusi pendekatan diplomasi, pendidikan, media dan bantuan kemanusiaan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, persidangan perlu melangkaui perbincangan dan menghasilkan cadangan tindakan yang praktikal serta boleh dilaksanakan.

Menurutnya, walaupun Terengganu tidak memiliki kekuatan ekonomi atau pengaruh geopolitik seperti kuasa besar dunia, negeri itu masih mampu menyumbang melalui ilmu, jaringan persahabatan dan usaha menghimpunkan pemikiran yang bernas.

"Kita mempunyai ilmu, kesedaran, jaringan persahabatan dan kemampuan menghimpunkan pemikiran yang bernas. Jika semua ini digerakkan dengan perancangan yang tepat, Terengganu boleh menyumbang kepada usaha memperkukuh solidariti dan kerjasama dunia Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika merasmikan  Terengganu International Summit 2026 : Sambutan Tiga Tahun Taufan Al -Aqsa  di Stadium Negeri di sini hari ini.

Dr. Muhammad Khalil berkata, persidangan antarabangsa seharusnya berfungsi sebagai medan menghubungkan pemikiran, menyatukan matlamat dan menggerakkan tindakan bersama, bukannya sekadar menghimpunkan peserta dari pelbagai negara.

Katanya, antara hasil yang boleh diusahakan termasuk pembentukan jaringan kerjasama antara ilmuwan, pendakwah, pemikir, institusi pendidikan, organisasi kemanusiaan dan pembuat dasar.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya resolusi berkaitan Palestin dirangka dengan jelas, disusuli pelan tindakan yang menetapkan tanggungjawab serta tempoh pelaksanaan bersesuaian.

Menurutnya, hubungan antara institusi ilmu dengan pembuat dasar juga perlu diperkukuh bagi memastikan gagasan yang dibincangkan dapat diterjemahkan kepada dasar dan tindakan yang berkesan.

Tambah beliau, usaha membina kesatuan ummah memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh memandangkan cabaran dunia Islam kini bukan sahaja melibatkan konflik bersenjata dan krisis kemanusiaan, malah turut merangkumi persaingan ekonomi, pengaruh media, teknologi serta pembentukan persepsi antarabangsa.

Katanya, negara yang mempunyai pengaruh besar telah lama memanfaatkan industri kreatif, penyelidikan, teknologi dan jaringan diplomatik untuk memperkukuh kedudukan serta membentuk pandangan masyarakat global.

"Sehubungan itu, dunia Islam perlu meningkatkan keupayaan dalam bidang berkenaan supaya kerjasama antara negara tidak hanya tertumpu kepada kenyataan politik, tetapi turut menghasilkan kekuatan strategik yang berpanjangan," katanya. 

Dalam konteks Palestin, beliau berkata, kerjasama tersebut boleh merangkumi penyelarasan bantuan perubatan dan makanan, sokongan pendidikan, pemulihan infrastruktur serta usaha membina semula kehidupan rakyat yang terjejas.

Dr. Muhammad Khalil turut menekankan bahawa perbezaan pandangan dalam kalangan negara Islam perlu diurus secara matang dan tidak seharusnya menghalang kerjasama dalam perkara yang dipersetujui bersama.

"Kesatuan ummah bukan bererti semua perbezaan pandangan mesti dihapuskan. Sebaliknya, kita perlu belajar mengurus perbezaan secara matang, mengelakkan permusuhan yang tidak membawa manfaat dan mendahulukan kepentingan bersama," katanya.

Menurutnya, kerjasama yang dibina berasaskan prinsip keadilan, maruah manusia dan pembelaan terhadap golongan tertindas mampu menjadi asas kepada hubungan dunia Islam yang lebih kukuh.

Beliau berharap Terengganu International Summit 2026 dapat melahirkan hasil yang bukan sahaja relevan dengan perkembangan semasa, tetapi turut menyumbang kepada pembentukan kerjasama jangka panjang dalam kalangan negara dan institusi dunia Islam.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan