lightning-solid
Berita :
Terengganu Media Index Jadi Penanda Aras Baharu Komunikasi Kerajaan Negeri
Terengganu Media Index Jadi Penanda Aras Baharu Komunikasi Kerajaan Negeri
Mastura Jamal Din
5 jam yang lepas
71

KUALA TERENGGANU, 23 Ogos – Bukan sekadar mengukur sejauh mana maklumat kerajaan disampaikan, Terengganu Media Index bakal menjadi penanda aras baharu Kerajaan Negeri Terengganu dalam memastikan setiap dasar dan inisiatif benar-benar difahami serta dirasai rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, indeks berkenaan akan menjadi instrumen pemantauan dan penilaian bagi melihat perkembangan landskap komunikasi negeri secara lebih tersusun.

Menurut beliau, Terengganu Media Index akan memberi tumpuan kepada beberapa aspek penting termasuk keberkesanan penyampaian maklumat, tahap liputan sesuatu isu, penerimaan masyarakat serta sentimen terhadap dasar dan inisiatif kerajaan.

“Selain itu, kita juga mahu melihat sejauh mana maklumat yang disampaikan benar-benar sampai dan difahami oleh rakyat.

“Terengganu Media Index ini bukan sekadar laporan berkala yang dibaca dan disimpan, sebaliknya mesti menjadi alat semakan dan penambahbaikan kepada kita semua,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan Kongres Komunikasi Strategik Negeri Terengganu bagi tahun 2026 di Hotel Permai, di sini hari ini.

Jelas Dr. Muhammad Khalil, laporan yang diterbitkan secara berkala itu membolehkan kerajaan mengenal pasti perkara yang telah dilaksanakan dengan baik, ruang yang masih perlu diperbaiki serta isu yang memerlukan penjelasan lanjut.

“Daripada laporan tersebut, kita perlu dapat mengenal pasti perkara yang memerlukan tindakan komunikasi dengan lebih segera.

“Pendekatan ini penting supaya perancangan dan keputusan komunikasi Kerajaan Negeri dapat dibuat dengan lebih berpandukan fakta, data dan keadaan sebenar di lapangan,” katanya.

Tambahnya, penerbitan indeks tersebut juga mampu mengurangkan kebergantungan kepada andaian atau persepsi dalaman semata-mata dalam menentukan pendekatan komunikasi kerajaan.

Beliau turut berharap semua jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri memberikan kerjasama sepenuhnya kepada sekretariat, khususnya dalam aspek perkongsian data, maklumat dan maklum balas yang diperlukan.

“Ini bukan laporan milik satu sekretariat atau satu agensi, tetapi satu instrumen bersama untuk membantu kita memahami keadaan komunikasi Kerajaan Negeri dengan lebih tepat dan seterusnya memperbaikinya secara berterusan,” katanya.

Langkah tersebut mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri Terengganu untuk memperkukuh penyampaian maklumat kepada rakyat melalui pendekatan yang lebih sistematik, berasaskan data serta responsif terhadap perkembangan dan penerimaan masyarakat.

 


Tag :

Artikel Berkaitan