lightning-solid
Berita :
Terengganu Miliki 90 Padang Ragut, Lebih 33 Peratus Telah Dimajukan
Terengganu Miliki 90 Padang Ragut, Lebih 33 Peratus Telah Dimajukan
Noraini Jusoh
18 jam yang lepas
171

KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Terengganu mempunyai 90 kawasan padang ragut melibatkan keluasan keseluruhan 5,964.11 hektar dengan 1,982.36 hektar atau 33.24 peratus daripadanya telah dimajukan bagi menyokong pembangunan industri penternakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, baki 3,981.75 hektar atau 66.76 peratus masih belum dimajukan dan berpotensi untuk diteroka bagi meningkatkan pengeluaran ternakan serta bekalan makanan hijau.

“Di Besut, sebanyak 13 padang ragut berkeluasan 253.06 hektar direkodkan dengan 232.80 hektar atau 92 peratus telah dibangunkan manakala 20.26 hektar lagi masih belum dimajukan.

“Sementara, Setiu pula memiliki 12 padang ragut berkeluasan 1,172.81 hektar dengan 761.37 hektar atau 65 peratus telah dibangunkan manakala 411.44 hektar lagi masih belum dibangunkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor yang mengemukakakan soalan berkaitan berapa jumlah padang rumput ternak di daerah Besut dan Setiu pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, sebahagian kawasan di Setiu dibangunkan sebagai padang ragut rakyat manakala selebihnya dipajakkan kepada pengusaha ternakan.

“Kesemua kawasan padang ragut ini berfungsi sebagai kawasan penternakan serta pengeluar makanan hijau sama ada dalam bentuk segar atau diproses,” jelasnya.

Menurut Azman, individu atau syarikat yang berminat mengusahakan kawasan padang ragut di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Terengganu boleh mengemukakan kertas cadangan projek kepada JPV daerah masing-masing. 

“Permohonan akan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Tanah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Negeri Terengganu yang bermesyuarat secara berkala,” ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan