lightning-solid
Berita :
Terengganu Salur RM1.02 Juta Kepada 511 Masjid
Terengganu Salur RM1.02 Juta Kepada 511 Masjid
Rohayati Ripin
11 jam yang lepas
394

KUALA TERENGGANU, 24 Ogos – Kerajaan Terengganu menyalurkan RM1.022 juta kepada 511 masjid di seluruh negeri bagi membantu memperkukuh program pengimarahan, dakwah, kebajikan dan aktiviti masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata setiap masjid menerima RM2,000 untuk dimanfaatkan bagi pelaksanaan program masing-masing.

Katanya, bantuan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkukuh peranan masjid yang bukan hanya berfungsi sebagai tempat ibadat, tetapi juga pusat ilmu, komuniti dan dakwah.

“Masjid bukan sekadar tempat untuk mendirikan solat, bahkan ia merupakan tempat membina manusia sebagai pusat ilmu, pusat komuniti, tempat penyatuan ummah serta pusat dakwah.

“Kerajaan negeri sentiasa mengambil berat soal pengurusan dan pengimarahan masjid dalam menjayakan pelan induk kerajaan negeri melalui slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Penyerahan Bantuan kepada Pengurusan Jawatankuasa Masjid Negeri Terengganu dan Majlis Pelancaran Program Kapsul Indahnya Hidup Bersyariat di Damai Lounge, U2, Dewan Undangan Negeri Terengganu, hari ini.

Dr. Muhammad Khalil berkata dana berkenaan perlu diurus secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab bagi memastikan manfaatnya sampai kepada masyarakat setempat.

Menurutnya, antara program yang boleh diberikan perhatian ialah aktiviti ilmu dan pembinaan modal insan, dakwah, program belia dan kekeluargaan, kebajikan serta program komuniti.

“Penyerahan bantuan dana ini merupakan tanda keprihatinan dan sokongan terhadap usaha memperkukuh institusi masjid.

“Melalui bantuan ini juga diharap dapat membantu melancarkan dan memperkasakan aktiviti pengimarahan masjid,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Muhammad Khalil memuji pengurusan beberapa masjid di Terengganu yang menggunakan pendekatan lebih terbuka dalam mendekati anak muda.

Beliau mengambil contoh program RXZ Members baru-baru ini apabila beberapa masjid membuka ruang kepada peserta untuk berteduh, menyediakan jamuan dan menyambut mereka sebagai tetamu.

Katanya, pendekatan seumpama itu merupakan satu bentuk dakwah secara tidak langsung.

“Ada anak muda yang mungkin tidak biasa ke masjid, tetapi apabila mereka diberi ruang dan layanan yang baik, ia membuka peluang untuk mereka mengenali masjid dan mendekati agama.

“Di sini menunjukkan kepada kita peranan masing-masing. Peranan kerajaan itu satu, tetapi masjid, masyarakat dan komuniti di tempat masing-masing juga mempunyai peranan. Kita bantu-membantu dan tolong-menolong antara satu sama lain,” katanya.

Menurutnya, pendekatan mesra dan terbuka perlu diteruskan memandangkan golongan muda merupakan antara kelompok penting dalam pembangunan masyarakat dan negeri.

Dr. Muhammad Khalil turut menegaskan usaha mengimarahkan masjid bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan masyarakat.

Katanya, pendekatan itu selari dengan konsep 'negara berkebajikan' yang diamalkan pentadbiran negeri.

“Walaupun bantuan yang kita agihkan adalah satu jumlah yang tidak seberapa, ia menunjukkan komitmen kerajaan negeri.

“Apa yang kita amalkan dalam pentadbiran ini ialah konsep ‘negara berkebajikan’, berbeza dengan konsep ‘negara kebajikan’,” katanya.

Beliau berkata negara Barat seperti Norway dan Denmark mengamalkan konsep negara kebajikan apabila kerajaan memikul tanggungjawab besar terhadap kebajikan rakyat.

Namun, katanya, konsep negara berkebajikan dalam Islam menekankan tanggungjawab bersama antara kerajaan dan rakyat.

“Kerajaan ada tanggungjawab, dalam masa yang sama rakyat pun ada tanggungjawab,” katanya.

Muhammad Khalil berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh agenda dakwah dan pengimarahan masjid selaras dengan slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera serta tema Indahnya Hidup Bersyariat.

“Namun usaha ini tidak akan berjaya tanpa sokongan semua pihak.

“Dakwah adalah tanggungjawab kita bersama. Setiap daripada kita boleh menjadi sebab orang lain mengenali kebaikan, mencintai masjid dan kembali mendekati Allah,” katanya.




Tag :

Artikel Berkaitan