lightning-solid
Berita :
Terengganu Salur RM1.07 Juta Bantu 39 Usahawan
Terengganu Salur RM1.07 Juta Bantu 39 Usahawan
Rohayati Ripin
2 jam yang lepas
97

KUALA TERENGGANU, 15 Julai – Kerajaan Terengganu menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) menyalurkan pembiayaan dan geran berjumlah RM1.07 juta kepada 39 usahawan bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, daripada jumlah keseluruhan RM1,073,800 itu, sebanyak RM1,059,800 disalurkan menerusi Skim Pembiayaan Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) kepada 36 usahawan.

Menurutnya, baki RM14,000 pula disalurkan menerusi Geran Dana Usahawan Industri Terengganu (DUIT) dan Dana Usahawan Orang Kelainan Upaya Terengganu (D-HATI) kepada tiga usahawan.

“Kemudahan yang diberikan ini merupakan satu amanah dan peluang yang perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.

“Tidak semua usahawan berpeluang menerima pembiayaan. Justeru, penerima sewajarnya bersyukur dan menghargai kepercayaan yang diberikan kerajaan negeri melalui YPU,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada Peminjam Kali Kedua Tahun 2026 di YPU di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata, pembiayaan berkenaan perlu digunakan sepenuhnya bagi tujuan perniagaan seperti dirancang supaya dapat menjana keuntungan, meningkatkan daya saing serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Menurut beliau, perkembangan sesebuah perniagaan bukan sahaja memberi manfaat kepada usahawan, malah turut membantu keluarga, komuniti dan ekonomi Terengganu secara keseluruhannya.

“Penerima perlu mengelakkan penggunaan dana bagi perbelanjaan yang tidak berkaitan kerana tindakan itu boleh menjejaskan prestasi perniagaan serta kemampuan mereka membuat bayaran balik,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ariffin mengingatkan peminjam supaya berdisiplin membuat bayaran balik mengikut jadual ditetapkan kerana Skim TUGAS dilaksanakan berasaskan konsep dana pusingan.

“Setiap bayaran balik yang diterima akan disalurkan semula bagi membantu lebih ramai usahawan lain memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

“Disiplin peminjam hari ini akan membuka peluang kepada usahawan lain pada masa akan datang,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru penerima yang berdepan cabaran dalam menguruskan perniagaan supaya mendapatkan khidmat nasihat daripada YPU.

Tambahnya, komitmen berterusan kerajaan negeri melalui YPU membuktikan kesungguhan dalam memperkukuh sektor keusahawanan sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi Terengganu.


Tag :

Artikel Berkaitan