Berita :
Terengganu Tuan Rumah MTHQK 2026, Semai Cinta Al-Quran
Terengganu Tuan Rumah MTHQK 2026, Semai Cinta Al-Quran
Noraini Jusoh
5 jam yang lepas
107

KUALA TERENGGANU, 2 April - Penganjuran Majlis Tilawah Dan Hafazan Al- Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2026 di Terengganu merupakan manifestasi komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memperkasa syiar Islam serta membudayakan al-Quran dalam kehidupan masyarakat. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli berkata, ia bukan sekadar 
pertandingan, bahkan platform penting dalam memupuk. kecintaan terhadap al-Quran serta penghayatan nilai-nilai murni yang terkandung di dalamnya.



Katanya, kerjasama ini juga merupakan manifestasi usaha memartabatkan Islam sebagai Agama Persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta memperkasa agenda pembangunan ummah.

"Dalam mendepani gelombang dunia moden, dengan krisis kemanusiaan, cabaran digital, perubahan iklim dan kemerosotan nilai, kita tidak mempunyai rujukan yang lebih tepat melainkan kembali kepada prinsip
kenabian: rahmah, adil, ihsan, amanah dan taqwa.

"Signifikannya majlis ini bukan sahaja bertujuan untuk mencari peserta terbaik bagi mewakili negara di peringkat antarabangsa, tetapi yang lebih utama adalah untuk menanam rasa cinta terhadap al-Quran, " ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas prapelancaran majlis tilawah itu yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Majlis tilawah dan hafazan yang bertemakan ’Kalam Ilahi, Tradisi Diwarisi’ itu dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula 13 April depan di Dewan Arena, Stadium Tertutup Gong Badak, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus.

Tilawah dan hafazan kali ini melibatkan 108 peserta berusia antara 14 hingga 62 tahun.


Sementara itu, Muhammad Khalil berkata, kerajaan negeri melalui MAIDAM Property Sdn. Bhd. berbesar hati menaja hadiah iringan dalam bentuk dinar dan bar emas MAIDAM Gold kepada johan, tempat kedua dan ketiga bagi semua kategori yang dipertandingkan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Kerajaan Persekutuan melalui JAKIM atas kepercayaan yang diberikan kepada Negeri Terengganu sebagai tuan rumah penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada tahun ini.

"Bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu, kami menyambut amanah ini dengan penuh iltizam.

"Selaras dengan aspirasi menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri yang berpaksikan nilai-nilai Islam, penganjuran tilawah dan hafazan ini dilihat sebagai manifestasi komitmen berterusan dalam melahirkan generasi Ulul Albab iaitu generasi yang bukan sahaja celik al-Quran, bahkan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup dan asas kepimpinan," ujarnya.


Katanya, Kerajaan Negeri Terengganu akan terus komited memperkukuh ekosistem pendidikan al-Quran melalui pelbagai inisiatif termasuk pemerkasaan institusi tahfiz, integrasi pendidikan agama dan akademik serta usaha melahirkan generasi yang seimbang dari sudut intelektual, spiritual dan akhlak.

"Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua penaja dan rakan strategik yang telah memberikan sokongan padu, sama ada dalam bentuk kewangan, kepakaran, barangan mahupun komitmen berterusan dalam menjayakan penganjuran majlis ini," ujarnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan