KUALA TERENGGANU, 15 April - Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan moratorium bayaran balik pinjaman di bawah Skim Pinjaman Modal Tani (SPMT) selama sehingga 12 bulan bermula Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, inisiatif itu adalah langkah segera bagi meringankan beban golongan tani, penternak dan nelayan yang terhimpit dalam suasana krisis global semasa.
Katanya, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Skim Pinjaman Modal Tani Kerajaan Negeri Terengganu hari ini.
Beliau berkata, moratorium tersebut akan diberikan kepada semua peminjam SPMT, dengan kerajaan negeri menanggung implikasi kewangan kira-kira RM2.9 juta.
“Kerajaan Negeri prihatin dengan kesukaran yang sedang dihadapi oleh warga tani, penternak dan nelayan Negeri Terengganu dalam situasi krisis global yang sedang melanda dunia sekarang.
“Sehubungan dengan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Skim Pinjaman Modal Tani Kerajaan Negeri Terengganu telah memutuskan untuk memberikan moratorium penangguhan bayaran balik pinjaman dalam tempoh sehingga 12 bulan bermula bulan Mei 2026 kepada semua peminjam SPMT,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Dr. Azman, semua peminjam akan dihubungi oleh Urus Setia SPMT bagi urusan lanjut berkaitan pelaksanaan moratorium berkenaan.
Langkah itu dilihat sebagai antara usaha kerajaan negeri memberi ruang bernafas kepada golongan yang bergantung kepada sektor pertanian, penternakan dan perikanan, ketika kos operasi terus meningkat dan kedudukan ekonomi global masih tidak menentu.
Dengan keputusan tersebut, kerajaan negeri bukan sahaja menangguhkan kutipan bayaran balik pinjaman, malah turut memikul beban kewangan yang besar bagi memastikan golongan sasar tidak terus tertekan.
Tag :