KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Kerajaan Negeri menegaskan bahawa cadangan untuk menyediakan lokasi khas bagi permainan mercun dan bunga api masih berada di peringkat penelitian dan belum diputuskan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kenyataan beliau sebelum ini telah disalah tafsir sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah satu keputusan muktamad telah dibuat.

"Saya telah menyatakan bahawa pihak kerajaan akan meneliti garis panduan sedia ada serta mempertimbangkan penetapan syarat tertentu bagi tahun hadapan.
"Apabila diajukan soalan mengenai cadangan untuk menetapkan lokasi khas, jawapan saya juga ringkas iaitu kita akan teliti cadangan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi menjelaskan laporan media yang didakwa menggambarkan seolah-olah Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk melaksanakan cadangan tersebut.
Wan Sukairi menegaskan, setakat ini tiada sebarang perbincangan lanjut mahupun keputusan dibuat berhubung perkara itu.
"Namun, apa yang dilaporkan seolah-olah menggambarkan satu keputusan telah dibuat, sedangkan hakikatnya masih di peringkat penelitian dan tidak berlaku sebarang perbincangan apa-apa lagi," jelasnya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa adalah tidak wajar untuk memetik sebahagian kecil kenyataan sehingga membentuk naratif yang boleh mengelirukan masyarakat.
Ulasnya lagi dalam kenyataan yang sama, kewartawanan yang bertanggungjawab seharusnya menyampaikan fakta secara tepat tanpa menokok tambah demi sensasi.
"Saya berharap selepas ini semua pihak khususnya pengamal media dapat lebih berhati-hati dan berintegriti dalam melaporkan kenyataan supaya maklumat yang sampai kepada rakyat adalah benar, jelas dan tidak disalah tafsir," tambahnya.
Sebelum ini, isu penggunaan mercun dan bunga api di Terengganu dilaporkan semakin rancak sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Syawal, khususnya di kawasan sensitif seperti rumah ibadah dan hospital.
Oleh yang demikian, ia sekali gus mencetuskan cadangan agar garis panduan sedia ada diperhalusi termasuk kemungkinan menetapkan lokasi khas bagi tujuan keselamatan serta ketenteraman awam.