DUNGUN, 26 Ogos – Sebanyak tiga kelahiran bayi direkodkan di Hospital Dungun pada hari sambutan Maulidur Rasul 1448H, diraikan menerusi Program Permata Maulidur Rasul 2026M/1448H.
Program berkenaan menjadi simbolik dalam meraikan kehadiran insan-insan kecil yang lahir pada hari istimewa, di samping menyemarakkan rasa kasih dan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Dalam kesempatan tersebut, turut diadakan sunnah mentahnik bayi sebagai tanda kasih serta doa agar anak-anak yang baru dilahirkan sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.
Sumbangan dan hadiah turut disampaikan kepada keluarga bayi berkenaan sebagai tanda ingatan dan penghargaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman turut menyertai program berkenaan dan mentahnik bayi-bayi tersebut.

Setiap kelahiran bukan sekadar membawa kegembiraan kepada sebuah keluarga, malah merupakan amanah besar daripada Allah SWT yang perlu dipelihara dengan penuh kasih sayang, pendidikan dan didikan agama.
Semoga ketiga-tiga bayi berkenaan dikurniakan kesihatan yang baik, dipanjangkan usia dalam keberkatan, menjadi anak yang soleh dan solehah serta membesar sebagai generasi pewaris ummah yang membawa sinar kebaikan kepada masyarakat.
Program tersebut turut disertai Pegawai Agama Daerah Dungun, Ahadi Othman; Ketua Penolong Pegawai Daerah Dungun, Azilia Hani Abd Aziz; serta Timbalan Pengarah Hospital Dungun, Nurul Fatanah Kamarul Zahari.
Program Permata Maulidur Rasul ini bukan sahaja meraikan sebuah kelahiran, tetapi mengangkat nilai kasih sayang, doa, kebersamaan dan harapan terhadap generasi masa hadapan, bertepatan dengan semangat Maulidur Rasul yang mengajak umat Islam meneladani akhlak dan kasih sayang Rasulullah SAW.