Berita :
Nelayan Terengganu Ada Tiga Masalah Besar
Nelayan Terengganu Ada Tiga Masalah Besar
Ahmad Zaeem Zainudin
16 jam yang lepas
178

BESUT, 18 Mac - Kerajaan Negeri Terengganu komited dalam mengambil pendekatan menyeluruh bagi menangani tiga antara isu-isu utama dihadapi nelayan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan secara berperingkat bagi menyelesaikan masalah tersebut.

"Bila saya jumpa dengan semua kawan-kawan nelayan, semua beritahu masalah besar kita ini tiga sahaja.

"Yang pertama tak ada lesen, yang kedua ikan tak berapa ada dalam laut, yang ketiga, pencerobohan. Ini masalah yang rakan-rakan (nelayan) semua beritahu," katanya.

Menurutnya, isu pelesenan hampir diselesaikan sepenuhnya apabila lebih 1,100 lesen sampan khas telah diagihkan kepada nelayan melalui dua siri pelaksanaan.

"Apabila nelayan memiliki lesen, mereka layak menerima pelbagai manfaat termasuk subsidi minyak, elaun sara hidup dan bantuan tabung bencana," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Program Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Benting Lintang, hari ini.

Tambah beliau, usaha memperkayakan sumber perikanan turut dipergiat melalui pelabuhan tukun tiruan di perairan Terengganu bagi bagi memastikan kelangsungan industri perikanan.

Jelasnya, negeri tersebut mencatat kepadatan ikan tertinggi di Pantai Timur berbanding negeri lain, hasil pelaksanaan program pelabuhan tukun tersebut.

"Namun peningkatan ini turut membawa kesan sampingan apabila berlaku pencerobohan oleh nelayan luar.

"Dalam kes ini, insya-allah kita akan sentiasa berkolaborasi dengan agensi-agensi penguatkuasa untuk menguatkuasakan Akta perikanan 1985 sama ada Maritim ataupun Jabatan Perikanan Malaysia," tegasnya.

Jelas Dr. Azman, lebih 40 kes pencerobohan oleh nelayan negeri jiran direkodkan sepanjang tahun lalu dan tindakan penguatkuasaan terus diperkukuh dengan kerjasama agensi berkaitan.

Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri akan terus berusaha menyelesaikan isu-isu yang dihadapi nelayan secara berperingkat demi meningkatkan taraf hidup golongan berkenaan.

"Kalau tidak dapat selesaikan semua sekali gus, kita selesaikan mana yang mampu dahulu," ujarnya.


Ketupat

Artikel Berkaitan