Berita :
Tindakan Pantas Penduduk Selamatkan Warga Emas
Tindakan Pantas Penduduk Selamatkan Warga Emas
Rohayati Ripin
17 jam yang lepas
76

Oleh : Amir Ab rahim

BESUT, 14 April - Tindakan pantas penduduk setempat berjaya menyelamatkan nyawa seorang warga emas yang tidak mampu berjalan dalam satu insiden kebakaran yang melibatkan kediaman empat buah keluarga di Jeti Kuala Besut, semalam.

​Kejadian yang disedari sejurus sebelum waktu Zuhur itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa, berkat sikap prihatin dan 'cakna' komuniti setempat yang pantas berganding bahu memindahkan mangsa serta membantu menyelamatkan barangan.

​Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Raja dan Jerteh telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memadam dan mengawal api daripada terus merebak.

​"Kita amat bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semua mangsa berjaya dipindahkan ke tempat selamat," katanya ketika ditemui, semalam.

Susulan daripada tragedi tersebut, pelbagai pihak telah tampil menghulurkan bantuan segera bagi meringankan beban keluarga mangsa yang tinggal sehelai sepinggang. 

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah mengagihkan keperluan asas termasuk makanan, toto, dan pakaian.

​Sementara itu, Azbi turut turun padang menyerahkan sumbangan wang tunai awal kepada keluarga yang terjejas.

​"Bagi bantuan jangka masa panjang, kita akan segera mengusahakan permohonan melalui Tabung Darul Iman bagi menampung kos baik pulih kediaman mereka. 

"Pada masa yang sama, bantuan kewangan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) juga akan turut diusahakan," jelasnya.

​Punca sebenar kebakaran dan nilai kerugian keseluruhan masih dalam siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan