Jalur Gemilang
Berita :
Tun Hasmah Pesan 'Datang Rumah Selalu', Dr. Sam Tak Sangka Itu Permintaan Terakhir
Tun Hasmah Pesan 'Datang Rumah Selalu', Dr. Sam Tak Sangka Itu Permintaan Terakhir
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
52

KUALA TERENGGANU, 29 September – Pesanan Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali supaya kerap berkunjung ke rumahnya kini menjadi kenangan berharga buat Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri.

Ahmad Samsuri berkata, beliau tidak menyangka pertemuan serta makan malam selama kira-kira 90 minit di kediaman Allahyarhamah pada 20 September lalu merupakan kali terakhir mereka bertemu.

Menurutnya, pesanan Allahyarhamah bersama suaminya, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar mereka datang lebih kerap antara perkara yang akan sentiasa dikenangnya.

“Tidak menyangka bahawa pertemuan dan makan malam bersama selama 90 minit pada malam itu adalah yang terakhir untuk kami dengan Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah, sebelum beliau pulang bertemu Yang Maha Pencipta.

“Saya masih terkenang wajah Allahyarhamah yang ceria pada malam itu,” katanya menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau pada Selasa.

Mengimbas kembali kunjungan pada malam Ahad itu, Ahmad Samsuri berkata, mereka berbual santai mengenai pelbagai perkara di ruang tamu sebelum menikmati makan malam bersama.

Katanya, antara yang meninggalkan kesan mendalam ialah kesungguhan Allahyarhamah untuk terus menyampaikan kesedaran mengenai kesihatan wanita, terutama kepada masyarakat di luar bandar.

“Tun Hasmah mula membuka bicara dengan semangatnya yang luar biasa, bercerita mengenai kesedaran aspek kesihatan dalam kalangan kaum wanita, terutama di desa.

“Ungkapan ‘Saya bersedia untuk turun beri talk mengenai kesedaran kesihatan untuk wanita’ masih terngiang-ngiang di minda kami kerana ia memberi gambaran semangat juang Tun Hasmah yang tidak pernah pudar untuk bercakap mengenai kesihatan,” katanya.

Menurut beliau, Allahyarhamah turut mengimbas pengalaman bertugas sebagai doktor di pedalaman Kedah selepas berkahwin dengan Tun Dr. Mahathir.

Kata Naib Presiden PAS itu, antara yang dikongsikan ialah pengalaman membonceng motosikal ke kampung untuk memberikan khidmat perubatan sehingga pernah terjatuh ke dalam bendang.

“Allahyarhamah sambil tergelak menyebut bahawa beliau pernah membonceng motosikal sebagai doktor perubatan untuk pergi ke kampung di Kedah, malah pernah terjatuh ke dalam bendang apabila motosikal tidak dapat dikawal akibat jalan bendang yang berlubang.

“Dalam kisah itu tergambar kehidupan seorang wanita yang dekat dengan masyarakat, memahami kesusahan mereka dan menjalankan amanahnya sebagai seorang doktor,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata, Allahyarhamah juga sempat berseloroh mengenai kesukaran Tun Dr. Mahathir menikmati sarapan di luar rumah kerana sering dikerumuni orang ramai yang mahu bergambar.

“Susah juga Dato’ kalau makan di luar sana, ramai sangat orang nak selfie dan bergambar dengan dia... ramai nak bergambar, yang muda-muda pula tu,” kata Allahyarhamah seperti dikenang beliau.

Menurut Ahmad Samsuri, perbualan mereka turut berkisar mengenai kehidupan seharian pasangan itu, termasuk rutin bersarapan di beranda rumah dan seekor burung liar yang sering datang ke meja makan.

Selain itu, beliau berkata, Allahyarhamah berkongsi kisah usahanya mendapatkan tenunan songket yang hampir sama dengan kain peninggalan arwah ayahandanya selepas kain asal itu rosak.

Menurutnya, kisah berkenaan memperlihatkan perhatian Allahyarhamah terhadap tradisi dan warisan.

“Sepanjang perbualan, terasa betapa luas pengalaman yang tersimpan di sebalik tutur katanya yang sederhana.

“Kami datang sebagai tetamu, lalu pulang membawa kenangan yang amat berharga,” katanya.

Ahmad Samsuri turut merakamkan ucapan takziah kepada Tun Dr. Mahathir serta seluruh keluarga Allahyarhamah.

“Bagi saya dan isteri, pertemuan itu akan sentiasa menjadi kenangan yang kami syukuri,” katanya.

Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada pagi Isnin, 28 September 2026, pada usia 100 tahun.

Jenazah Allahyarhamah kemudian disemadikan di Pusara Negara menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.
 


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan