Jalur Gemilang
Berita :
UC TATI Sasar Jadi Universiti Penuh Menjelang 2030
UC TATI Sasar Jadi Universiti Penuh Menjelang 2030
Rohayati Ripin
2 jam yang lepas
90

KUALA TERENGGANU, 12 Oktober – University College TATI (UC TATI) menyasarkan transformasi menjadi sebuah universiti penuh menjelang 2030 menerusi Pelan Strategik UC TATI 2026–2030 bagi memperkukuh kedudukan institusi itu dalam bidang pendidikan tinggi, teknologi dan kejuruteraan.

Rektornya, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid berkata, pelan strategik berkenaan menjadi landasan kepada usaha membawa UC TATI ke tahap lebih besar melalui pengukuhan kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi serta kerjasama industri dan antarabangsa.

Menurutnya, UC TATI turut mencatatkan pencapaian membanggakan sepanjang 2026, termasuk menerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Berteraskan Industri pada Malaysia Education & TVET Awards (META) 2026.

“Pengiktirafan ini membuktikan keberkesanan program teknikal yang dibangunkan bersama rakan industri bagi memenuhi keperluan pasaran kerja.

“Melalui pendekatan ini, pelajar dan graduan bukan sahaja memperoleh kemahiran praktikal berimpak tinggi yang diiktiraf industri, malah mempunyai kelebihan kompetitif yang dapat meningkatkan kebolehpasaran mereka,” jelasnya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UC TATI Kali Ke-26 di Dewan Canselor UC TATI, di sini.

Dalam usaha memperluas akses pendidikan antarabangsa, beliau berkata, kerjasama strategik dengan Yayasan Terengganu dan Guangzhou Huashang Vocational College (GHVC), China, membuka peluang kepada sembilan pelajar terpilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan, sains komputer dan pengurusan perniagaan.

“Program ini bukan sahaja meluaskan akses kepada pendidikan antarabangsa, malah memberikan pendedahan kepada industri dan ekosistem pembelajaran bertaraf dunia kepada anak-anak Terengganu,” katanya.

Dalam bidang penyelidikan dan inovasi, UC TATI meraih 11 pingat emas, 11 perak dan 21 gangsa pada Minggu Penyelidikan dan Inovasi 2026, selain menerima Semi Grand Award dan Special Award.

Institusi itu turut diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Mineral Negeri Terengganu, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan penyelidikan serta kepakaran teknikal berasaskan sumber mineral tempatan.

Pengiktirafan berkenaan berpotensi memperkukuh peranan UC TATI sebagai pusat rujukan dalam bidang mineral, khususnya melalui penyelidikan, pendedahan kepada projek industri sebenar dan pemindahan teknologi kepada pelajar.

Sementara itu, UC TATI turut mencatatkan pencapaian apabila menduduki tangga ke-47 daripada 114 institusi tempatan dalam penilaian UI GreenMetric 2026, sekali gus meletakkannya dalam kelompok 50 institusi pendidikan tinggi terbaik Malaysia bagi aspek kelestarian kampus.

Pencapaian itu mencerminkan komitmen institusi berkenaan terhadap pembangunan persekitaran pembelajaran yang mampan dan kondusif, selain meningkatkan kesedaran pelajar mengenai kepentingan kelestarian.

"Seramai 380 graduan diraikan pada konvokesyen kali ini, terdiri daripada 162 graduan diploma, 217 graduan ijazah sarjana muda dan seorang graduan sarjana. Majlis turut menyaksikan detik bersejarah buat graduan sulung Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak," katanya.

Justeru itu, beliau berharap para graduan dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat, industri dan negara.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan