Jalur Gemilang
Berita :
USWa Rancang Bimbingan agama, Keluarga Untuk Wanita Orang Asli
USWa Rancang Bimbingan agama, Keluarga Untuk Wanita Orang Asli
Rohayati Ripin
2 jam yang lepas
58

HULU TERENGGANU, 12 Oktober – Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) merancang program susulan khusus untuk wanita Orang Asli di Kampung Sungai Berua, dengan tumpuan kepada bimbingan agama secara praktikal dan motivasi kekeluargaan.

Pengarahnya, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, pihaknya telah berbincang dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) bagi mengenal pasti pendekatan yang sesuai dengan keperluan wanita di perkampungan itu.

Menurutnya, antara pengisian yang dirancang ialah ilmu fekah berkaitan wanita, termasuk hukum-hakam haid, selain bimbingan untuk meningkatkan motivasi diri dan membina keluarga yang lebih baik.

“Bertemu dengan golongan wanita sahaja untuk fokus kepada keperluan mereka, memberi motivasi kepada kaum wanita dari segi praktikal keagamaan yang perlu kepada mereka, sesuai dengan kepentingan ajaran Islam kepada golongan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program Sentuhan Kasih Sejuta Erti Se-Kasih (SEKASIH 2026) anjuran USWa di Kampung Sungai Berua, di sini.

Roslina berkata, usaha mendekati masyarakat Orang Asli bertujuan memahami kehidupan serta mengenal pasti keperluan sebenar mereka supaya tidak terpinggir daripada menikmati kesejahteraan hidup.

Antara perkara yang dikenal pasti, katanya, ialah kebajikan dan keperluan asas keluarga, pendidikan, peningkatan pendapatan, pembangunan generasi muda serta pemerkasaan wanita.

Beliau berkata, pendidikan wanita dan kanak-kanak turut menjadi keutamaan USWa dalam usaha membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat berkenaan.

“Kumpulan yang menjadi keutamaan dalam program ini memang wanita kerana kami daripada Urus Setia Wanita ingin mengenal pasti keperluan golongan wanita, kemudian kanak-kanak.

“Keperluan yang ingin diberi perhatian ialah dari segi pendidikan mereka, pendidikan wanita dan juga kanak-kanak,” ujarnya.

Dalam aspek ekonomi, Roslina berkata, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada penyediaan kemahiran yang bersesuaian bagi membantu masyarakat Orang Asli meneroka peluang pekerjaan dan menjana pendapatan di kawasan tempat tinggal sendiri.

“Daripada itu, pembangunan ekonomi, kita boleh menyediakan kemahiran yang sesuai kepada mereka untuk membangunkan ekonomi di lokasi tempat mereka tinggal,” katanya.

Menurutnya, program susulan perlu mengambil kira keperluan sebenar penduduk supaya usaha kebajikan dan pembangunan yang dilaksanakan sesuai dengan keadaan keluarga serta komuniti setempat.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan