Jalur Gemilang
Berita :
Wira SUKMA Terengganu Terima Ganjaran RM1.558 Juta
Wira SUKMA Terengganu Terima Ganjaran RM1.558 Juta
Mohd Irsyadi Abu Bakar
56 minit yang lepas
42

KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Atlet Terengganu yang meraih pingat pada temasya SUKMA XXII dan Para SUKMA 2026 di Selangor menerima insentif berjumlah RM1.558 juta daripada kerajaan negeri sebagai penghargaan terhadap kejayaan mereka.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, jumlah itu merangkumi RM1.34 juta untuk 164 atlet SUKMA dan RM217,500 bagi 39 atlet Para SUKMA.

Menurutnya, ganjaran itu menghargai setiap pengorbanan atlet yang berjuang mengharumkan nama negeri.

“Kita sedar bahawa tiada nilai wang yang mampu membayar sepenuhnya pengorbanan seorang atlet.

“Insentif ini bukanlah harga kepada kejayaan. Ia adalah tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap setiap titik peluh, masa, pengorbanan dan disiplin yang telah dicurahkan demi mengharumkan nama Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Insentif SUKMA XXII dan Para SUKMA 2026 di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim.

Mohd Azmi berkata, kadar insentif pingat emas ditetapkan sebanyak RM5,000 bagi acara membabitkan seorang atau dua atlet, manakala RM4,000 bagi setiap atlet untuk acara melibatkan tiga orang atau lebih.

“Ganjaran ini tidak termasuk bonus RM1,000 yang telah kita berikan sebaik sahaja atlet kita menang di venue pertandingan,” katanya.

Bagi pemenang pingat perak, insentif diberikan sebanyak RM3,000 untuk acara seorang atau dua atlet, manakala RM2,500 bagi setiap atlet untuk acara membabitkan tiga orang atau lebih.

Pemenang pingat gangsa pula menerima RM1,500.

Pada temasya itu, Terengganu menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan di belakang tuan rumah, Selangor dan Wilayah Persekutuan, sekali gus memperbaiki pencapaian pada edisi 2024 di Sarawak.

Kontinjen negeri membawa pulang 123 pingat menerusi kutipan 43 emas, 44 perak dan 36 gangsa.

Mohd Azmi berharap insentif berkenaan menyuntik semangat atlet untuk terus memburu kejayaan lebih tinggi.

“Kepada semua penerima, saya ucapkan tahniah dan syabas.

“Moga-moga insentif ini menjadi salah satu pembakar semangat untuk kalian melangkah lebih jauh,” katanya.

Pada majlis sama, sebanyak RM117,200 turut disampaikan menerusi Insentif Skim Wakil Negara (SWARA) dan Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE).

Ganjaran itu diberikan kepada atlet Terengganu yang berjaya mewakili Malaysia dan memenangi pingat pada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland serta Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan