Berita :
Infrastruktur, Perumahan dan Peluang Ekonomi Antara Isu Utama Sidang DUN – ADUN Hulu Besut
Infrastruktur, Perumahan dan Peluang Ekonomi Antara Isu Utama Sidang DUN – ADUN Hulu Besut
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
5

KUALA TERENGGANU, 19 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi  Hussin menegaskan bahawa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini perlu berlangsung secara matang, berfokus dan benar-benar memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat.

Beliau berkata, setiap perbahasan dalam sidang tersebut sewajarnya menyentuh isu sebenar di lapangan dan bukan sekadar retorik politik semata-mata.

“Harapan saya agar sidang kali ini berjalan dengan lancar, matang dan memberi fokus sepenuhnya kepada kepentingan rakyat. Kita mahu perbahasan yang dibuat benar-benar menyentuh isu sebenar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, antara isu utama yang akan dibangkitkan ialah keperluan menaik taraf infrastruktur asas di Hulu Besut, termasuk jalan raya, kemudahan awam serta liputan telekomunikasi yang masih belum memuaskan.

Selain itu, isu perumahan rakyat turut menjadi keutamaan apabila masih terdapat penduduk yang tinggal di rumah daif dan tidak selamat.

“Saya akan menggesa supaya lebih banyak peruntukan disalurkan bagi pembinaan serta baik pulih rumah, khususnya untuk golongan berpendapatan rendah yang benar-benar memerlukan,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau turut memberi perhatian kepada aspek peluang ekonomi dan pekerjaan, khususnya bagi golongan belia tempatan agar mereka tidak perlu berhijrah ke luar kawasan untuk mencari rezeki.

Isu kebajikan rakyat termasuk kesiapsiagaan menghadapi musim tengkujuh dan banjir juga akan diketengahkan memandangkan ia memberi kesan langsung kepada keselamatan serta kesejahteraan penduduk.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga diharapkan dapat memberikan penjelasan yang telus serta bertindak lebih proaktif dalam menangani isu kos sara hidup, pembangunan dan kebajikan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar seperti Hulu Besut.

“Yang paling penting, segala keputusan yang dibuat mestilah memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan