• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

'Ingat Demam Biasa' - Bekas Pesakit COVID-19

KUALA NERUS, 8 Julai – "Bermula daripada rasa tak sedap badan," luah seorang bekas pesakit COVID-19, Mohd Nazeli Abd Jalil, 38 menceritakan saat mulanya dia mengesyaki dirinya menghidap virus tersebut, baru-baru ini.

Menurutnya yang tinggal di Tok Jembal, dia mengambil langkah sewajarnya dengan menamakan kontak rapat dan diarahkan menjalani saringan COVID-19 bersama empat rakan sekerja lain.

“Ingatkan cuma demam biasa, memang tak terfikir langsung bahawa akan positif.

"Sewaktu mula simptom awal tersebut, saya dan isteri terus segera ke klinik berdekatan untuk mendapat rawatan lanjut.

“Kemudian, bila mandi pula, deria bau saya hilang dengan wangian yang saya guna,” katanya ketika ditemubual pemberita.

Katanya yang juga seorang Pembantu Logistik, isteri dan anak-anak turut diarahkan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk menjalani ujian calitan dengan menunjukkan keputusan negatif.

"Ketika dalam kuarantin, hanya panggilan video menghubungkan kita sekeluarga bersama di samping mendengar kuliah agama di Facebook.

"Selain itu, banyak membaca al-Quran dan berzikir juga membantu memberi ketenangan dan menghilangkan tekanan ketika menghadapi cabaran getir ini," luahnya.

Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab bersyukur warganya tamat tempoh kuarantin dan pulang ke pangkuan keluarga.

“Alhamdulillah saudara Nazeli dibenarkan pulang dan kita berbesar hati dapat membantunya melalui perkhidmatan yang kita sediakan.

“Kami di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir ada menyediakan pengangkutan kepada mereka yang diarahkan kuarantin dan perkhidmatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” Ujarnya lagi

"Sedia maklum, virus ini benar wujud. Kesan jangka panjang masih belum diketahui dengan jelas. Sebagai rakyat Malaysia, menjadi tanggungjawab untuk memutuskan rantaian dan jangkitan COVID-19 dengan mematuhi SOP serta mendapat vaksin," nasihatnya.