• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

INSTEP Bantu 2,668 Murid Kembali Ke Sekolah

KUALA NERUS, 22 Mac - Sejumlah 2,668 murid-murid dari lapan buah sekolah rendah di Terengganu telah menerima barangan keperluan persekolahan dan peralatan kebersihan dari Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) di bawah program “Back to School” 2021 (BTS 2021).

Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Idris Ibrahim berkata, program BTS 2021 INSTEP adalah usaha kolektif yang menggabungkan kakitangan dan ahli keluarga PETRONAS serta komuniti setempat dalam mencapai objektif membantu para pelajar dengan menyediakan barangan keperluan persekolahan untuk sesi pembelajaran 2021.

Ahli kakitangan INSTEP bersama guru-guru Sekolah Kebangsaan Maras, Kuala Terengganu.

“Kami berharap sumbangan ini dapat mengurangkan kerisauan mereka dalam menempuh sesi pembelajaran dengan situasi jangkitan COVID-19 yang masih menular.

“INSTEP akan terus meningkatkan usaha-usaha kami dalam menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat selaras dengan strategi utama CSR (tanggungjawab sosial korporat) Kumpulan PETRONAS," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara barangan yang disumbangkan adalah alat tulis, topeng muka, pengimbas suhu, pembersih tangan serta bantuan pelajaran lain seperti bahan bacaan berkaitan dengan sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik. Sumbangan itu telah disampaikan oleh INSTEP kepada pihak sekolah terbabit pada 7 dan 9 Mac lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Idris Ibrahim menyerahkan sumbangan keperluan sekolah kepada wakil-wakil sekolah.

BTS 2021 dilaksanakan oleh INSTEP secara kolaborasi bersama Persatuan Isteri-Isteri Kakitangan & Kakitangan Wanita PETRONAS, Jawatankuasa Masjid Al-Ehsan dan Badan Kebajikan ISLAM PETRONAS (BAKIP).

Ia bertujuan membantu murid-murid dari keluarga yang kurang berkemampuan dengan inisiatif berkenaan juga melibatkan kempen menderma di kalangan kakitangan INSTEP. Mereka berjaya mengumpul lebih dari RM13,000 bagi menampung sama kos pembelian barangan yang disumbangkan.


Tag: