KUALA LUMPUR, 31 Januari — Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli menegaskan bahawa isu rasuah dan kegagalan integriti institusi mesti ditangani dengan serius bagi menjamin kelangsungan dan maruah negara.
Ketika berucap dalam sesi Usul Menjunjung Kasih Titah Di Raja di Persidangan Dewan Rakyat, beliau merujuk kepada titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang memberi peringatan bahawa integriti adalah teras kekuatan negara dan tidak boleh dikompromi walau setinggi mana pangkat, jawatan atau kedudukan seseorang.
Menurut beliau, teguran Tuanku perlu dijadikan panduan utama dalam membina sebuah pentadbiran yang bersih, telus dan beramanah.
“Integriti bukan sekadar slogan. Ia adalah benteng kepada keadilan, kepercayaan rakyat dan kelangsungan sebuah negara,” katanya.
Wan Hassan turut mengingatkan dalam Dewan Rakyat dengan satu kalam Arab lama yang menggambarkan empat ciri penyelewengan oleh pihak yang bertopengkan kuasa kerajaan.
Antaranya ialah: undang-undang dimanipulasi demi melindungi puak perosak dan pesalah;
"Cukai direntap daripada makanan orang miskin lalu dihimpunkan dalam kantong negara tetapi disalurkan kepada projek gagal yang sarat dengan unsur rasuah.
"Jawatan diagihkan kepada kroni dan penyokong dan kroni-kroni bagai bagai haiwan ternakan, manakala projek palsu dijadikan benteng untuk menghalalkan penyelewengan wang awam," ujarnya.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan apabila berbilion ringgit diperuntukkan secara terbuka untuk projek yang tidak memberi manfaat, sedangkan rakyat miskin ditekan keras hanya kerana sepotong roti.
“Ini bukan isu politik kepartian semata-mata, tetapi soal maruah dan masa depan negara. Apabila integriti runtuh, kepercayaan rakyat terhadap institusi juga akan runtuh,” tegasnya.
Beliau mengakhiri ucapan dengan menyeru semua pihak supaya menjunjung titah Tuanku bukan sekadar melalui lafaz, tetapi dengan tindakan berani membina sistem pentadbiran yang bersih, adil dan berasaskan amanah.