lightning-solid
Berita :
Integriti : Tiada Kompromi Terhadap Ketua Jabatan - SUK
Integriti : Tiada Kompromi Terhadap Ketua Jabatan - SUK
Mastura Jamal Din
2 jam yang lepas
121

KUALA TERENGGANU, 3 Februari– Semua ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri diseru supaya terus memperkukuh penghayatan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan kekal terpelihara.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, integriti bukan sekadar slogan, sebaliknya teras utama yang perlu diterjemahkan melalui tindakan, keputusan dan tingkah laku harian dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

"Setiap penjawat awam wajib memelihara integriti dengan menjauhi, menolak serta tidak bertoleransi terhadap sebarang bentuk pelanggaran tatakelakuan, rasuah dan konflik kepentingan yang boleh menjejaskan imej perkhidmatan awam.

“Sehebat mana pun seseorang individu atau organisasi, ia tidak membawa makna sekiranya tidak berteraskan integriti kerana nilai itulah asas kepada kepercayaan, kredibiliti dan keberkatan dalam pentadbiran,” katanya.

IMG_20260203_115805_030.jpg 1.15 MB
Beliau berkata demikian di Majlis Amanat SUK Bersama Pegawai Awam Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini. 

Tambahnya lagi, bagi memastikan gagasan Pentadbiran Dinamik Perkhidmatan Cemerlang benar-benar memberi impak, tiga hala tuju strategik telah digariskan sebagai hala tuju Perkhidmatan Awam Negeri Terengganu Darul Iman bermula 2026.

Jelasnya, hala tuju itu merangkumi pemerkasaan peranan penjawat awam sebagai pelaksana agenda negeri; pengintegrasian keutamaan pentadbiran negeri dengan aspirasi kerajaan dan rakyat; serta tadbir urus berintegriti sebagai tonggak utama.

Tambah beliau, penghayatan menyeluruh terhadap hala tuju berkenaan diyakini mampu melahirkan penjawat awam yang kompeten, profesional dan berintegriti di samping membudayakan kualiti kerja serta keutamaan terhadap hasil.

Katanya, usaha berterusan itu juga akan mengukuhkan imej dan reputasi Perkhidmatan Awam Negeri Terengganu sebagai jentera pentadbiran yang diyakini dan berkesan.


Tag :

Artikel Berkaitan