• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

i-Perantau, Penerima Zahirkan Terima Kasih

KUALA LUMPUR, 16 Mei - Rata-rata penerima pertama pembayaran i-Perantau melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan negeri atas inisatif berkenaan.

Shahruddin Amri Abu Bakar, 37, yang berasal daripada Kampung Ladang Tok Pelam dan kini bertugas sebagai anggota Polis di Banting sangat bersetuju dengan pendekatan dilaksanakan kerajaan Terengganu.

“Saya setuju sangat penyampaian bantuan atas dasar membantu perantau dari Terengganu. 

“Selain itu, cara pemberian begini dengan mengumpulkan anak-anak negeri di satu tempat membolehkan kita melebarkan ukhuwah sesama anak negeri yang sama-sama berada di perantauan,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Hari Raya Anak Terengganu di Perantauan yang berlangsung di MAEPS Serdang, semalam.

Dalam pada itu, anak kelahiran Setiu, Saidatul Nafisa Mohd Yusof, 34 menyifatkan bantuan melalui i-Perantau sedikit sebanyak membantu mengurangkan perbelanjaan keluarga.

Suri rumah yang kini menetap di Rawang itu turut memuji pelaksanaan Tahun Pertanian Terengganu berikutan berjaya membantu orang-orang kampung lebih berdaya saing.

“Tahun pertanian yang dibuat itu baik, alhamdulillah ayah saya yang juga seorang nelayan turut serta dalam program tersebut dan menerima manfaat daripadanya,” katanya.

Kenyataan itu turut disokong anak muda dari Batu Rakit, Siti Aquiyah Sabri,30, yang kini bekerja dalam bidang IT di Wangsa Maju.

Beliau yang hadir menerima pembayaran mewakili keluarga kakaknya yang menetap di Pahang menyatakan, dana berkenaan sangat membantu terutama bagi perantau yang berada di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Kita sedia maklum, kos sara hidup di sini lebih tinggi berbanding tempat lain dan sebagai rakyat Terengganu yang layak dapat, ia memang membantu mereka.

“Ia bukan dari segi kuantitinya yang dilihat, tetapi lebih utama dari segi nilainya dalam membantu. Seringgit juga bernilai jika dapat membuatkan orang lain yang memerlukan tersenyum. 

“Itu yang penting sebenarnya,” katanya.

Dalam majlis yang diadakan semalam, seramai 650 daripada 2,500 penerima yang layak hadir menerima pembayaran pertama bagi dana i-Perantau.

Mereka turut diraikan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ADUN-ADUN dan pegawai-pegawai kanan kerajaan berikutan ia turut dilangsungkan bersama Majlis Sambutan Hari Raya Anak Terengganu di Perantauan.