• 06 Okt 2024 | 03 Rabiul Akhir 1446

Ismaheel Akinade Senjata Baru Terengganu FC

KUALA TERENGGANU, 14 Februari - Belum reda dengan berita kemasukan duo pemain sayap Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Akhyar Rashid dan Safawi Rasid ke Terengganu FC, kelab gergasi pantai timur itu tampil mengumumkan penyerang kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade sebagai penggempur baharu pasukan.

Ismaheel, 30 pernah menjadi tonggak utama bagi pasukan Kelantan United dan juga Kelantan FC musim lalu dan menjaringkan 10 gol dan enam bantuan gol dalam 25 penampilan bagi kedua-dua pasukan.

"Saya tidak sabar menunggu musim baharu dan sangat teruja bersama kelab besar ini. Saya menentang kelab ini pada musim lalu dan kini gembira menyertainya musim ini. Saya berharap kita akan kembali layak ke Piala AFC lagi.

"Apa yang perlu dilakukan ialah cuba memperbaiki dan membantu pasukan dalam apa jua keadaan. Selagi kami bersama sebagai satu pasukan, kami akan cuba memberikan yang terbaik dan lihat apa yang berlaku nanti, semoga kita berada di puncak atau setidaknya di sekitar puncak menjelang akhir musim nanti," katanya.

Berketinggian 1.90 meter, Ismaheel dilihat berpotensi dibangunkan bersama Ivan Mamut di barisan hadapan oleh pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner.

Dengan Ivan yang menyumbang 17 gol untuk Terengganu FC musim lalu, mampukah Ismaheel menyaingi penyerang kelahiran Croatia itu atau sekurang-kurangnya menyuntik lebih sokongan dalam membina duo yang ampuh buat Sang Penyu musim ini?

 

 

 

  


Tag: