• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Jadikan Al-Quran Panduan Hidup

KUALA TERENGGANU, 28 Mac – Kerajaan negeri menyeru agar rakyat menjadikan Al-Quran sebagai panduan kehidupan di dunia dalam menuju kebahagiaan yang kekal abadi di akhirat nanti.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata saban tahun pada bulan Ramadan, kebanyakan umat Islam secara tradisi menyambut sejarah peristiwa penurunan Al-Quran atau Nuzul Quran bagi memperingati peranan penting yang terdapat dalam Al-Quran itu sendiri.

“Al-Quran cukup istimewa di sisi ummat manusia kerana ianya merupakan mukjizat daripada Allah SWT yang tidak dapat dicipta oleh mana-mana makhluk di muka bumi ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Nuzul Al-Quran dan Ceramah bertempat di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini semalam.

Ceramah majlis berkenaan disampaikan oleh Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS), Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Tambah Mohd Nor, beliau berharap rakyat dapat memanfaatkan bulan Ramadhan ini sebaik mungkin dengan memperbanyakkan membaca al-Quran dan melakukan ibadah lain.

“Sebagaimana firman Allah SWT “Katakanlah (hai Muhammad) sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan al-Quran, mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 


Tag: