Berita :
Jadikan Konflik Global Sebagai Iktibar - Dr. Khalil
Jadikan Konflik Global Sebagai Iktibar - Dr. Khalil
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
48

KUALA TERENGGANU, 23 April - Perkembangan konflik di Timur Tengah perlu dijadikan iktibar penting oleh semua pihak dalam memperkukuh daya tahan ekonomi dalaman, khususnya apabila berdepan ketidaktentuan global.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkembangan antarabangsa tidak boleh dipisahkan kerana ia memberi kesan diperingkat global.

"Walaupun pada hari ini kita bersidang di Dewan Undangan Negeri Terengganu, namun begitu, kita perlu melihat kepada perkembangan-perkembangan semasa yang berlaku yang mempunyai kaitan antara satu sama lain.

"Kerana kita hidup di atas satu dunia. Yang berlaku di penghujung dunia juga memberi kesan kepada kita," katanya ketika sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menyentuh konflik melibatkan kuasa besar dunia, beliau menegaskan keperluan mengambil pengajaran daripada situasi tersebut.

"Peperangan yang berlaku antara Amerika Syarikat, negara haram Israel dan Iran. Apa yang saya nak kaitkan di sini ialah supaya kita mengambil pengajaran dan iktibar," pesannya.

Menurutnya, walaupun serangan yang berlaku jelas melanggar undang-undang antarabangsa, realiti dunia hari ini menunjukkan kuasa besar bertindak di luar batas.

"Kita mengutuk serangan bacul tersebut yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa, menceroboh negara yang merdeka, membunuh pemimpin-pemimpin dan juga membunuh rakyat yang tidak berdosa.

"Namun begitu, apakah daya kita hidup di zaman undang-undang rimba," katanya.

Dalam pada itu, beliau menjadikan Iran sebagai contoh negara yang mampu bertahan walaupun berdepan sekatan ekonomi berpanjangan.

"Namun begitu Iran tetap mampu membina kekuatan domestiknya melalui pemeriksaan industri tempatan, pembangunan teknologi sendiri serta pengoptimenan sumber dalaman," jelasnya.

Ulasnya, keadaan itu membuktikan kepentingan kekuatan dalaman sebagai asas utama ketahanan ekonomi.

Sehubungan itu, tambah Dr. Khalil, pendekatan tersebut selari dengan usaha kerajaan negeri melalui pelaksanaan inisiatif New Income Terengganu (NIT) bagi mempelbagaikan sumber hasil.

Menurutnya lagi, kebergantungan kepada satu sumber seperti royalti petroleum perlu dikurangkan bagi mengelakkan risiko ketidaktentuan ekonomi.

"Hasil daripada usaha yang tersusun ini bagi tempoh tahun 2024 hingga 2025, kerajaan negeri telah berjaya mencatat peningkatan hasil baru sebanyak 15% berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Beliau menegaskan bahawa keupayaan berdikari kini menjadi keperluan utama dalam memastikan kestabilan ekonomi negeri.

"Justeru saya ingin menegaskan bahawa dalam dunia yang penuh dengan ketidakpastian ini keupayaan untuk berdikari bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan untuk dilaksanakan dalam konteks pentadbiran negeri," katanya.


Tag :

Utama
Ketupat

Artikel Berkaitan