Jalur Gemilang
Berita :
Jalan Baharu Jeti Nelayan Merang Kini Boleh Digunakan
Jalan Baharu Jeti Nelayan Merang Kini Boleh Digunakan
Nik Muhammad Ziyad Nik Abdul Ghafar
1 hari yang lepas
52

SETIU – Urusan harian komuniti nelayan di kawasan Jeti Nelayan Merang kini menjadi lebih mudah dan selesa berikutan siapnya pembinaan jalan baharu ke kawasan berkenaan baru-baru ini.

Sebelum ini, golongan nelayan di kawasan tersebut berdepan kesukaran berpunca daripada laluan ke tapak parkir bot yang jauh. 

Selain itu, laluan sedia ada juga amat menyukarkan pergerakan berikutan struktur laluan berpagar serta bukaan jalan yang terlalu sempit.

Penyelesaian kepada isu ini tercapai susulan dua siri lawatan turun padang Ahli Parlimen Setiu,  Shaharizukirnain Abdul Kadir pada bulan Februari dan Mei yang lalu bagi meninjau sendiri kesukaran yang dialami komuniti setempat.

Hasil daripada lawatan tersebut, satu perbincangan meja bulat telah diadakan bersama pelbagai agensi kerajaan terpilih bagi merangka penyelesaian konkrit.

 Pertemuan berkenaan turut dihadiri oleh pegawai daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Tanah Dan Daerah Setiu, serta Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) bagi mendengar secara terus pandangan dan keperluan para nelayan.

"Dengan siapnya projek jalan baharu ini, ia dijangka dapat melancarkan lagi pergerakan nelayan serta meningkatkan kecekapan pengurusan bot di jeti berkenaan", ujar Shaharizukirnain. 

Pihak Parlimen Setiu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek ini, khususnya JPS, Pejabat Tanah Daerah Setiu, dan UPEN di atas kerjasama erat yang diberikan sepanjang proses pelaksanaan. Penyiapan laluan ini mencerminkan komitmen berterusan pihak Parlimen Setiu dalam mendengarkan keluhan rakyat dan menangani pelbagai isu kebajikan masyarakat setempat.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan