• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Jalan Baharu Untuk Jemaah Surau Tanjung Kedepan

Oleh : Izzat Al Qushairi

SETIU, 6 Julai - Impian Jemaah Surau Kampung Tanjung Kedepan di sini untuk menikmati kemudahan jalan berturap sejak sekian lama akhirnya menjadi kenyataan hari ini.

Pegawai Penyelaras (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, keperitan jemaah  yang terpaksa melalui jalan berdebu sejak 15 tahun lalu kini berakhir.

Menurutnya, komitmen untuk menangani isu jalan menghubungkan kampung itu dengan jalan raya utama di Tanjung Kedepan dimulakan sebaik sahaja dilantik sebagai Pegawai Penyelaras.

"Sebaik diberi amanah, saya telah berbincang dengan pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi menyelesaikan masalah rakyat di kampung berkenaan.

"Selepas PRU14, saya sangat bersyukur kepada kerana usaha ini akhirnya berkaya direalisasikan walaupun terpaksa melalui proses yang panjang dan berliku," katanya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tanjung Kedepan, Mustfar Che Ali berkata, penduduk di kampung itu lega kerana tidak lagi perlu risau akan keselamatan diri.

Beliau turut melahirkan rasa gembira kerana impian penduduk akhirnya tertunai selepas berjuang dan berdepan dengan proses yang agak rumit.

"Jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi menyelesaikan masalah itu walaupun baru hanya beberapa tahun mengambil alih tampuk kepimpinan.

"Syukur sekarang proses penurapan jalan sedang berjalan, kita sujud syukur kepada Allah," tambah beliau.