• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

JAM Kumpul 5,351 Beg Darah, Bantu Pesakit Seluruh Negara

MARANG, 20 Januari – Kejayaan Jabatan Amal Malaysia (JAM) mengumpul 5,351 beg darah melalui  penganjuran Amal Mega Blood Donation 2021 di 58 lokasi di seluruh negara sewajarnya dipuji.

Jumlah itu dikumpulkan dalam tempoh hanya  tiga hari program bermula, 15 sehingga 17 Januari lalu bagi menampung  keperluan pesakit di seluruh hospital dalam negara.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata apa yang diusahakan anggota JAM  itu perlu dijadikan contoh oleh semua pihak kerana jumlah yang dikumpul itu  pastinya dapat menyelamatkan ribuan pesakit.  

“Dengan satu bag darah yang dikumpul, akan dapat digunakan oleh tiga orang penerima, maka program AMBD2021 ini telah berjaya menyumbang bekalan darah kepada 16,053 pesakit,” katanya  dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman ‘Facebook’ rasmi miliknya hari ini.

 

Menurutnya lagi, terdapat beberapa golongan yang tidak boleh menderma darah, selain daripada faktor kesihatan yang diketahui umum seperti penyakit kronik, mengandung dan sebagainya.

“Mereka yang menggunakan hormon tumbesaran juga tidak dibenarkan menderma darah. Sesiapa yang layak menderma, boleh mengambil peluang berbuat demikian pada 23 Januari ini yang akan diadakan di Dewan Serbaguna PPR Hiliran, Kuala Terengganu.

“Semoga penderma yang menyumbang ini dikurniakan pahala berpanjangan,” tambah yang juga merupakan Naib Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS),” katanya.

 


Tag: