• 07 Okt 2024 | 04 Rabiul Akhir 1446

Jambatan Marang : Rakyat Diminta Sabar Hadapi Musim Perayaan

MARANG, 19 Mac – Projek menaik taraf jalan dan Jambatan Sungai Marang berjalan dengan lancar dan rakyat diminta agar bersabar dengan sebarang kesesakan lalu lintas berlaku.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata apabila musim cuti sekolah, perayaan dan waktu puncak, Jambatan Marang akan sesak dengan kenderaan.

“Segala kesulitan hari ini, Insya-Allah untuk kemudahan akan datang,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Untuk rekod, Projek menaik taraf jalan dan jambatan Sungai Marang membabitkan kos RM338.5 juta dan dijangka siap pada 2025 sekali gus dapat mengurangkan kesesakan laluan berkenaan.

Terdahulu, ketika Majlis Pecah Tanah Projek berkenaan, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata projek menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 1.5 kilometer itu dijadualkan mengambil masa 42 bulan untuk siap.

Beliau berkata, jambatan Sungai Marang antara yang disenaraikan dalam program penggantian jambatan dan menjadi keutamaan untuk dilaksanakan seperti permohonan Kerajaan Terengganu dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) susulan pertambahan trafik.

“Projek ini menghubungkan Kuala Terengganu ke Kuantan. Struktur jambatan ini sempit dan menyumbang kepada kesesakan di bandar Marang.

“Jambatan yang dibina pada 1960 dan berusia 62 tahun ini tidak mampu menampung jumlah trafik yang kian meningkat dengan sebanyak 31,387 kenderaan melalui jambatan berkenaan setiap hari berdasarkan Bancian Lalu Lintas pada 2020,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 


Tag: