• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

"Jangan Guna Pukat Pari, Elak Penyu Mati"

KUALA TERENGGANU, 3 April - “Rakyat Terengganu terutamanya nelayan dan komuniti di sekitar pantai digesa supaya tidak menggunakan peralatan yang dilarang untuk menangkap ikan, termasuk pukat pari yang dapat mengancam populasi penyu di negeri ini,” Ujar Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat.

Beliau menyatakan bahawa tindakan sedemikian juga boleh mengancam kehidupan haiwan laut yang lain.

“Menurut kajian pada tahun 2022, pukat pari menyumbang paling banyak kematian penyu di Terengganu iaitu sehingga mencapai 44 peratus.

 “Diikuti oleh pukat tunda sebanyak 38 peratus serta aktiviti-aktiviti lain termasuk terkena kipas bot, keracunan, dan termakan plastik turut menyumbang kepada kematian penyu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada hari ini.

Tambah Ruzaidi, pelbagai langkah yang dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan bagi menangani kes berkenaan.

Oleh kerana katanya, mereka yang bersalah akan cuba menggunakan pelbagai taktik untuk mengelakkan tangkapan menyebabkan pihak Jabatan Perikanan perlu mengambil pendekatan yang lebih realistik.

“Antara langkah terdekat yang diambil adalah melakukan aktiviti pemeriksaan di darat iaitu melibatkan pengkalan-pengkalan nelayan dan pemeriksaan premis-premis yang melibatkan komuniti nelayan," katanya.

Di samping katanya, penggunaan pukat pari adalah merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980 dan jika disabitkan boleh didenda tidak kurang RM 20 ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.

 “Jadi tolong jangan guna peralatan dilarang yang boleh mengancam populasi penyu terutamanya kepada para nelayan serta kepada mereka yang menjadikan aktiviti menangkap ikan di laut sebagai punca pendapatan utama atau sampingan.

“Selain itu, jangan jadikan laut kita sebagai tong sampah besar dengan membuang sampah serta plastik di dalam laut,” ujarnya.

Untuk rekod, pada Isnin lepas seekor penyu agar jantan dijumpai mati di Pantai Chakar Hutan, Kertih di sini dipercayai akibat terjerut pukat pari yang dipasang di tengah laut.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: