• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Jangan Pandang Ringan Pengambilan Ubat Kronik Ketika Puasa

KUALA TERENGGANU, 4 April - Orang ramai dinasihatkan agar tidak memandang ringan tentang pengambilan ubat-ubatan kronik seperti darah tinggi dan diabetes semasa berpuasa di bulan Ramadan.

Duta Kenali Ubat Anda Daerah Besut, Roslan Bidi, 65 berkata pesakit kronik perlu bertanya kepada pegawai perubatan dan farmasi sekiranya ada sebarang perubahan cara pengambilan ubat.

“Masuk bulan puasa, pesakit kronik kena bersedia supaya rawatan tidak terjejas sekali gus kesihatan terjaga untuk beribadah. Saya menghargai usaha pegawai farmasi yang turun padang ke kampung kami bagi menjalankan aktiviti penjagaan pesakit dalam komuniti. 

“Melalui program Kampungku Celik Ubat di Kampung Kayu Kelat ini, banyak informasi ubatan yang kita dapat melalui kerjasama dengan kakitangan farmasi di Daerah Besut. Beberapa penduduk kampung kami juga telah dilatih untuk menjadi Duta Kenali Ubat Anda dan aktif menjalankan aktiviti di kampung ini.

“Sebagai salah seorang Duta Kenali Ubat Anda di kampung ini saya perlu lebih cakna akan kebajikan dan kesihatan warga emas terutamanya mereka yang berpenyakit kronik seperti kencing manis yang dijaga oleh anak-anak mereka. Saya yakin program sebegini mampu membuatkan mereka lebih cakna tentang pengurusan ubat-ubatan orang tua mereka,” katanya yang juga Penyelaras Komuniti Jawatankuasa Kampungku Celik Ubat Kampung Kayu Kelat, Besut.

Zahirah dan Roslan.

Sementara itu, ahli farmasi komuniti, Zahirah Razani, 34, yang juga merupakan Duta Kenali Ubat Anda Daerah Besut berkata orang awam perlu mengambil tahu tentang cara pengambilan ubat yang betul terutamanya pesakit kronik sewaktu bulan puasa. 

Katanya, sebagai contoh, ubat yang perlu dimakan tiga kali sehari boleh dimakan ketika bersahur, berbuka puasa dan sebelum tidur, jika ubat empat kali sehari pesakit perlu merujuk kepada doktor jika perlu ubat tersebut diubahsuai dos atau ditukarkan kepada ubat lain.

“Bagi pesakit kencing manis, saya nasihatkan agar mereka lebih peka terhadap kondisi mereka ketika berpuasa terutamanya mereka yang selalu mengalami keadaan hiperglisemia atau hipoglisemia kerana ianya boleh membawa maut jika tidak diuruskan dengan betul. Jadi mereka perlu berbincang dengan doktor atau ahli farmasi tentang dos insulin jika perlu diubahsuai ketika berpuasa.

“Selain itu, pesakit digalakkan memantau sendiri paras gula dalam darah di rumah menggunakan alat glukometer. Sekiranya paras gula lebih rendah daripada 4 mmol/L, pesakit hendaklah berbuka puasa untuk mengelakkan hipoglisemia menjadi lebih serius.

“Sebagai ahli farmasi yang berperanan terhadap komuniti, saya menyeru agar masyarakat mengambil peluang dan meningkatkan kesedaran tentang pengurusan dan pengambilan ubat yang betul menerusi program sebegini,"ujarnya yang juga pemilik Farmasi Pharmaco Plus.


Tag: