Jalur Gemilang
Berita :
Jangan Syok Sendiri, Nilai Perkhidmatan Dari Perspektif Rakyat -Dato' SUK Terengganu
Jangan Syok Sendiri, Nilai Perkhidmatan Dari Perspektif Rakyat -Dato' SUK Terengganu
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
3

KUALA TERENGGANU,  28 September – Penjawat awam diingatkan supaya tidak terlalu selesa dengan pencapaian sedia ada atau menganggap sistem dan perkhidmatan kerajaan sudah berada pada tahap terbaik tanpa mengambil kira pandangan rakyat.

 Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, ukuran sebenar kejayaan sesebuah organisasi bukan sekadar berdasarkan apa yang dirasakan telah dilaksanakan dengan baik, sebaliknya sejauh mana perkhidmatan berkenaan memberi impak dan memudahkan urusan rakyat.

 “Dalam masa yang sama, saya ingin mengingatkan diri saya dan kita semua supaya sentiasa bermuhasabah terhadap prestasi kita. Jangan kita rasa kita sudah bagus. Jangan terlalu selesa. Dan jangan kita syok sendiri dengan apa yang kita telah capai.  

 “Kadang-kadang kita merasakan sistem kita sudah baik, proses kerja kita sudah cepat dan perkhidmatan yang diberikan sudah memuaskan. Tetapi rakyat yang menerima perkhidmatan mungkin mempunyai pandangan yang berbeza,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Profesionalisme Pegawai Tadbir Negeri Terengganu bertemakan ‘Corporate Culture: Getting the Right Aroma’ di Dewan Konvensyen, di sini, hari ini.

 

Menurut beliau, penjawat awam perlu sentiasa terbuka menerima teguran, mendengar pandangan dan berani memperbaiki kelemahan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan terus relevan dengan keperluan semasa.

 “Ukuran sebenar kejayaan bukan hanya pada apa yang kita rasa sudah kita lakukan dengan baik, tetapi pada sejauh mana perkhidmatan kita benar-benar memberi impak dan memudahkan urusan rakyat,” ujarnya.

 Katanya, perubahan pantas dalam persekitaran kerja, peningkatan ekspektasi rakyat serta perkembangan teknologi menuntut penjawat awam menilai semula kaedah kerja lama dan membentuk budaya kerja yang lebih dinamik.

 “Dalam konteks Pentadbiran Negeri Terengganu, Pegawai Tadbir Negeri merupakan tulang belakang dan jentera  penggerak kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan.

 “Kita bukan sekadar melaksanakan tugasan rutin, tetapi kita juga perlu menjadi ejen perubahan (agents of change), dan memastikan setiap dasar serta keputusan kerajaan diterjemahkan kepada perkhidmatan yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

 Mohd Azmi berkata, budaya kerja sesebuah organisasi ibarat aroma yang mungkin tidak dapat dilihat tetapi boleh dirasai melalui cara organisasi bekerja, membuat keputusan, melayan pelanggan, menyelesaikan masalah dan berinteraksi sesama sendiri.

 Justeru itu, beliau menyeru kepada semua Pegawai Tadbir Negeri yang hadir pada hari ini agar mengambil peluang emas ini untuk menimba ilmu dan pengalaman daripada amalan terbaik (best practices) sektor korporat.

 “Membuka minda untuk menyerap nilai-nilai kepimpinan moden yang boleh disesuaikan dalam perkhidmatan awam; dan 

 “Menggilap semula budaya kerja kita agar sentiasa relevan, responsif dan berteraskan integrity,” tambah beliau.

 Justeru, katanya, budaya kerja yang positif, berdisiplin, berintegriti dan berorientasikan prestasi perlu terus diperkukuh bagi membentuk pasukan yang mampu memberikan perkhidmatan berkualiti.

 Dalam pada itu, beliau turut menggesa Pegawai Tadbir Negeri mengambil peluang daripada perkongsian tokoh korporat, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh, untuk mempelajari amalan terbaik sektor korporat dan menyesuaikannya dengan keperluan perkhidmatan awam.

 “Jangan biarkan program pada hari ini berakhir sekadar sebagai satu sesi perkongsian. 

 “Saya berharap setiap daripada kita dapat membawa pulang sekurang-kurangnya satu idea, satu amalan baharu atau satu perubahan yang boleh disesuaikan dalam perkhidmatan awam. 

“Semoga perkongsian pada hari ini menjadi pemangkin kepada budaya kerja yang lebih dinamik, responsif, berintegriti dan berprestasi tinggi,” katanya.

 

 


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan