• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

'Janji Macam-macam, Tapi Gagal Tunai' - Ahmad Samsuri

BESUT, 26 Februari – Seorang pemimpin politik dalam negeri mahupun negara perlu jelas apabila berjanji supaya tidak menimbulkan kecelaruan dalam kalangan rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata semua pemimpin dinasihat agar tidak berjanji macam-macam namun tidak dapat ditunaikan.

“Saya tak nak masuk dalam kategori yang berjanji macam-macam untuk sedap didengar tapi tidak boleh buat.

“Yang penting permintaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin sangat munasabah dan saya sokong 100 peratus iaitu projek jalan Keruak dimasukkan dalam projek keutamaan negeri Terengganu.

“Tinggal lagi pihak kerajaan negeri akan cari jalan macam mana untuk merealisasikan permintaan tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran Tanah kepada penduduk DUN Hulu Besut bertempat di Padang Astaka Pasir Akar, Kampung Pasir Akar, Besut di sini kelmarin.

Tambah Ahmad Samsuri, projek tersebut yang mempunyai jarak sejauh 14 kilometer bukan sesuatu yang mudah kerana pelbagai halangan perlu diharungi.

Tambahnya, antara halangan tersebut seperti bukit bukau, tanah berair, tasik dan sebagainya.

“Sebenarnya sebelum pilihan raya 2018, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah ada rancangan dan dalam proses menyiapkan laporan teknikal untuk tender selepas daripada itu.

“Namun, selepas daripada pilihan raya tersebut pihak Kerajaan Persekutuan yang memerintah terbentuk ketika itu telah membatalkan projek berkenaan,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata, projek jalan itu sangat penting untuk membolehkan kawasan sekitar bukan sahaja Kampung Keruak bahkan Kampung La, Kampung Pasir Akar dan lain-lain mendapat pembangunan yang lebih baik.

“Saya akan bawa perkara ini ke pengetahuan kementerian supaya dimasukkan dalam Pelan Malaysia atau sebagainya.

“Pihak kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan pihak JKR untuk menjadikan projek sebagai suatu yang realiti,” ujarnya.

 


Tag: