• 18 Mei 2024 | 10 Zulkaedah 1445

Jaya Diri Bantu 74 Keluarga Pendapatan Rendah Berniaga


Oleh: Khalid Abdullah

KEMAMAN, 3 September - Seramai 74 orang keluarga berpendapatan rendah dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik berjaya memulakan perniagaan selepas menyertai Program Jaya Diri (PJD) kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata PJD bertujuan
memberi pinjaman tanpa faedah kepada golongan kurang berkemampuan memulakan perniagaan.

"Penyertaan peserta disasarkan kepada golongan suri rumah, ibu tunggal dan belia-beliawanis daripada keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah atau mempunyai pendapatan per kapita di bawah RM600.

“Melalui PJD, setiap peserta layak menerima pinjaman antara RM3,000 hingga RM20,000 bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan seperti kedai makan, jahitan, kedai runcit, pertanian, penternakan dan salun kecantikan,” ujar beliau.

Ir Saiful Azmi juga berkata, program ini juga bertujuan melatih keluarga miskin termasuk ibu tunggal dengan kemahiran asas pengurusan diri untuk meningkat pendapatan keluarga.

“InsyaAllah, sempena program Karnival Kemasik Sejahtera yang akan diadakan di Bandar Baru Kertih pada 5 hingga 7 September 2019 nanti, pihak YPKT akan membuka booth promosi untuk memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat dan juga borang pinjaman,” tambah beliau.

Ir Saiful Azmi berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek PJD berjumlah RM26,000 kepada tiga peserta baharu program berkenaan, di pejabatnya di Kertih, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Penolong Pengarah Bahagian Sosio Ekonomi YPKT.

“Selain mendapat bantuan modal, peserta turut didedahkan dengan program-program untuk meningkatkan kefahaman dan motivasi serta menambah pengetahuan dan kemahiran mereka dalam bidang perniagaan yang diceburi,” jelas Kamarulzaman.

Tag: